Tiket Sukan SEA 2017 telah mula dijual

KUALA LUMPUR: Tiket bagi menyaksikan acara Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mula dijual pada Selasa ( 4 Julai 2017).
Tiket yang berharga antara RM10 hingga RM20 dijual secara atas talian di www.kualalumpur2017.com.my manakala penjualan di beberapa pusat jualan akan dimaklumkan kemudian.

|Beli Tiket Sukan SEA secara Online |
Sebanyak 19 acara memerlukan tiket termasuk upacara pembukaan dan penutup yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata inisiatif penjualan tiket dilakukan kerana adanya had kapasiti di sesetengah lokasi pertandingan dan penjualan tiket menjadi mekanisme untuk mengawal kehadiran penonton secara lebih sistematik.
“Kami menyedari akan keperluan untuk memastikan kehadiran penonton terutamanya bagi acara yang dianggap sebagai mempunyai permintaan tinggi atau digemari ramai, dapat diatur dengan lebih sistematik dan terkawal.
“Atas sebab ini, keperluan untuk menjual tiket bagi lokasi pertandingan yang kapasiti penontonnya terhad berbanding dengan permintaan, perlu kami perkenalkan,” katanya pada majlis pelancaran penjualan tiket KL2017 di Bukit Jalil, Selasa.

jadual tiket
Jadual Sukan SEA

Antara acara sukan yang memerlukan tiket ialah akuatik (terjun, renang, renang berirama dan polo air), badminton, gimnastik, karate, taekwondo, pencak silat, futsal, bola jaring, ragbi, berbasikal (trek), bola keranjang, sepak takraw, biliard dan snuker, muay dan bola sepak.

Dalam pada itu, sebanyak 32 acara lain dapat ditonton secara percuma seperti akuatik (renang terbuka), memanah, olahraga, tenpin boling, tinju, kriket, berbasikal (BMX dan lebuh raya), ekuestrian, lawan pedang, golf, hoki, hoki ais, luncur ais, judo, boling padang, petanque dan layar.
Sementara itu pada sidang media kemudianya, Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) berkata bagi memastikan tidak berlaku penjualan tiket haram atau ulat tiket, setiap individu dihadkan pembelian kepada empat tiket sahaja.

“Kita hadkan pembelian tiket sama ada secara online dan di kios, kita hadkan maksimum empat tiket bagi setiap pembeli.
“Kita juga akan ada sukarelawan di luar venue bagi memastikan tidak berlakunya penjualan tiket haram.
“Harga tiket pula adalah berpatutan dan penyokong serta peminat acara sukan itu pastinya bersedia untuk membeli. Untuk pusingan awal harga RM10, pada pertengahan acara RM15 dan final RM20,” katanya.
Selain itu, Khairy berkata jumlah keseluruhan tiket dicetak bagi temasya dwitahunan itu, bagaimanapun bergantung kepada permintaan serta mengambil kira keperluan daripada negara peserta.
“Belum ada jumlah yang tepat sebab kita akan keluarkan lebih banyak kalau permintaannya tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Sukan Para Asean, beliau berkata tiada tiket dikenakan untuk semua acara.-Bernama

zool

Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan.
Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.

http://ligakampung.com/blog

2 thoughts on “Tiket Sukan SEA 2017 telah mula dijual

Leave a Reply