Thailand dan Filipina setuju beraksi pada saingan Piala AFF 2020

Saingan Piala AFF tahun ini dijangka akan kembali bersinar selepas juara lima kali, Thailand serta pasukan Filipina bersetuju untuk memberikan komitmen dalam saingan Piala AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 23 November hingga 31 Disember depan.
Sebelum ini, dua pasukan ini ingin menarik diri daripada saingan ini selepas isu pandemik COVID-19 yang melanda negara ASEAN ini. Thailand sebelum itu ingin memberikan tumpuan pada perlawanan liga dan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang telah ditunda.
Filipina pula sebelum ini memberi alasan untuk memberi tumpuan kepada liga domestik mereka yang ditangguhkan sehingga Disember depan.

Skuad Harimau Malaya yang muncul sebagai juara pada edisi 2010, tetap komited untuk bermain di pentas Piala AFF 2020.

Mengulas lanjut, AFF menerusi jurucakap mereka yang memberitahu, kedua-dua negara itu tidak akan menarik diri daripada bermain kejohanan Piala AFF 2020 seperti mana yang dilaporkan media sebelum ini.

Sebagai rekod, Thailand muncul sebagai negara paling berjaya di dalam kempen Piala AFF Suzuki dengan meraih lima gelaran (1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016) manakala Filipina masih gagal dinobatkan sebagai juara sejak kejohanan (sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger) pada tahun 1996.

“AFF telah mengesahkan bahawa pihak kami telah berhubung semula dengan Thailand dan Filipina berdasarkan laporan-laporan yang keluar sebelum ini.

“Thailand dan Filipina telah mengesahkan mereka tetap akan menghantar pasukan bertanding di Piala AFF Suzuki 2020 pada November depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AFF turut memberitahu Piala AFF 2020 tetap berlangsung seperti yang dijadual dan setiap perlawanan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kementerian kesihatan setiap negara masing-masing.

“Buat masa ini, Piala AFF Suzuki 2020 tetap diteruskan tetapi jika berlaku perkara luar jangkaan berkenaan Covid-19 pada masa akan datang, AFF akan kembali menilai sama ada kejohanan ini patut diteruskan atau sebaliknya,” ujarnya.

Sumber :-Sinar Harian

Secara peribadi Ligakampung.com berpendapat wajar untuk saingan Piala AFF ini ditangguhkan. Ini kerana jadual padat yang perlu ditempoh oleh liga-liga bola sepak ASEAN yang tidak membolehkan persiapan rapi bagi pasukan kebangsaan masing-masing. Mungkin pihak AFF perlu membuat kajian semula kerana kebanyakan saingan liga akan tamat dalam hujung tahun.

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.