Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Terengganu bakal pertahan juara SUKMA

KUALA TERENGGANU, 12 Feb — Terengganu optimis mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata persiapan kontinjen negeri sudah memasuki fasa akhir yang menumpu kepada pengukuhan mental, rohani, penguasaan taktikal serta kesempurnaan teknikal.

Katanya, atlet juga dihantar menjalani beberapa latihan di luar negara bagi mengelak pasukan lain mengesan kekuatan serta kelemahan atau dimanipulasi oleh pasukan bertanding yang lain.

“Kita tidak boleh dedahkan sasaran pingat buat masa ini kerana ia sebahagian daripada strategi pasukan.

“Ada beberapa sukan yang menjadi sandaran utama seperti kanu, berbasikal, judo dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pentauliahan ketua kontinjen, timbalan ketua kontinjen, bapa angkat dan jabatan angkat kontinjen Sukma 2020 Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin yang juga mantan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilantik sebagai ketua kontinjen ke SUKMA 2020 berdasarkan pengalaman luas dan kecemerlangan beliau membawa Terengganu menjulang kejuaraan sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2012.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan insentif skim wakil negara dan insentif hadiah kemenangan atlet Terengganu di temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina 2019 berjumlah hampir RM100,000 kepada 94 atlet.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan turut menghantar atlet renang dan gimnastik wanita ke SUKMA 2020, beliau berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dan akan diumumkan kelak.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)