Team Sapura Cycling juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2017

PENGARAH Sukan Team Sapura Cycling (TSC), Sergi Escobar percaya pasukan itu mampu meningkat selepas ini.

Escobar berkata, beliau gembira dengan persembahan pelumba dalam musim sulung mereka bersama selepas pasukan itu dibentuk hujung tahun lalu.

Sapura, pasukan bertaraf benua, bertindak cemerlang untuk muncul juara berpasukan keseluruhan, juara kategori pelumba Malaysia (Zawawi Azman) dan juara kategori bukit (Jahir Perez) selain menduduki tangga kedua bagi jersi kuning menerusi Victor Nino Corredor pada perlumbaan Jelajah Malaysia yang berakhir semalam.

“Satu minggu yang baik di sini pada Jelajah Malaysia, kami menang beberapa jersi dan berakhir di tangga kedua pelumba keseluruhan bukannya mudah,” ujar pengarah dari Sepanyol itu.

“Kami mempunyai beberapa penunggang bagus dari Malaysia dan luar negara dalam pasukan. Zawawi pelumba berbakat bagi semua permukaan perlumbaan manakala Izzat Hilmi Halil bagus dalam pecutan.

“Kami juga mempunyai Jahir dan Victor, pakar pendaki dari Colombia, kedua-duanya amat berpengalaman dan mampu beraksi di tahap tertinggi.

“Penunggang terutama pelumba muda Malaysia, meraih banyak pengalaman berguna tahun ini kerana kami bertanding dalam beberapa perlumbaan sukar di Eropah selain jelajah di Asia.

“Kami akan sekali lagi berlumba di Eropah musim depan dan saya berharap pelumba terus mematangkan diri.”

Muhsin Al Redha Misbah, Sofian Nabil Bakri, Izat Tolha, Fitrie Saharil dan Akmal Hakim Zakaria lima lagi pelumba Malaysia dalam pasukan Sapura. Mereka berusia di sekitar awal 20-an.

Pasukan itu, yang bertanding dalam empat jelajah di Sepanyol dan Portugal awal tahun ini, turut menampilkan dua pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi dan Agung Ali Sahbana selain Eloy Teruel (Sepanyol) dan Jason Christie (New Zealand).

– HMetro

Kredit Gambar :- Facebook Team Sapura Cycling

zool

Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan.
Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.

http://ligakampung.com/blog

Leave a Reply