Tanjung Malim akan menjadi hab sukan ekstrem

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Belia dan Sukan bagi merealisasikan usaha itu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat dengan kedua-dua kementerian berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi untuk mengenal pasti konsep (sukan ekstrem) yang akan dibangunkan serta meneruskan kerja-kerja (pelaksanaan).

“Apabila siapnya pembangunan sukan ekstrem itu nanti, ia mampu menarik pelancong-pelancong khususnya golongan muda untuk datang ke sini kerana kedudukan Tanjung Malim tidak jauh dari Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Youth City di sekitar Taman Bandar di Tanjung Malim hari ini.

Zuraida berkata apabila pembangunan sukan ekstrem itu dapat direalisasikan, ia sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat selain meningkatkan kegiatan sosial dan aktiviti di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Zuraida berkata proses untuk membangunkan Bandar Belia yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023, kira-kira 40 peratus telah siap setakat ini.

“Proses penambahbaikan sedang dilakukan dan kita akan memperkemaskan lagi pembangunan di sekitar Bandar Belia ini sebelum ia siap sepenuhnya,” katanya.

Tanjung Malim akan dibangunkan sebagai bandar belia Komanwel yang pertama di dunia yang akan memanfaatkan infrastruktur awam yang sedia ada, kemudahan dan kerjasama dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat awam.

Projek berwawasan ini diumumkan oleh Putera Charles of Wales semasa Sidang Kemuncak Pemuda Komanwel pada November 2017, disokong oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Inovasi Pemuda Komanwel dan majlis pemuda tempatan di Malaysia.

– Bernama

Tahniah. Semoga atlet Sukan ekstrem di negara akan mempunyai fasiliti yang secukupnya untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Kredit Gambar :-XGames.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.