post

Nixson, Benedict raih emas Terbuka Thailand 2018

Berita baik bagi sukan olahraga Malaysia apabila dua atlet negara meraih pingat emas dalam Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Thailand 2018 di Bangkok.
Pelari pecut negara, Nixson Kennedy memulakan langkahan baik apabila memenangi acara 100 meter lelaki selepas mencatatkan masa 10.57 saat yang merupakan catatan terbaiknya musim ini.
Pingat perak acara ini milik pelari dari Taiwan, Tai Sheng Wei yang mencatatkan kepantasan 10.63s sementara gangsa milik atlet dari Thailand, Bandit Chonchai dengan catatan 10.66s.

“Bagi saya pencapaian pada hari ini sangat memberangsangkan kerana saya berjaya melakar pencapaian terbaik musim ini.

“Banyak benda yang saya perlu ubah untuk mendapatkan pencapaian terbaik musim ini kerana pada tahun ini, saya agak bergelut untuk mendapatkan catatan masa… jadi saya bersyukur dengan pencapaian ini,” kata Nixson, ketika dihubungi.

Sementara itu, pelari acara 110 meter berpagar lelaki, Benedict Ian Gawok juga melakar kemenangan dalam kategori itu selepas memenangi acara akhir dengan catatan 14.54s.
Perak dan gangsa masing-masing milik Thailand, iaitu Patipan Tiamsaart dan Wannakorn Meethonyuaw masing-masing dengan catatan masa 14.90s dan 14.92s.

Sumber :-BHarian

Please follow and like us:
error0
post

Atlet elit olahraga wajib sertai Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — Semua atlet elit diwajibkan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-95 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 hingga 13 Mei ini.

Turut diadakan serentak dengan kejohanan berkenaan ialah Kejohanan Remaja Kebangsaan.

Saranan itu dibuat Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur kejohanan berkenaan di Wisma OCM, di sini, hari ini.

“Kejohanan ini akan digunakan sebagai kayu pengukur untuk atlet melayakkan diri ke Sukan Asia dan juga Kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN.”

“Semua atlet kebangsaan wajib mengambil bahagian termasuk atlet Sukan Komanwel 2018 sepetri atlet lempar cakera, Muhammad Ifran Shamsuddin, atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa dan pelari pecut Khairul Hafiz Jantan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu..

Menurut Karim, kejohanan berkenaan membuka peluang kepada semua atlet yang belum layak ke Sukan Asia atau mana-mana atlet yang tidak berada dalam mana-mana program sukan khusus, untuk turut sama bertanding…..
BERNAMA

Ligakampung.com bersetuju dengan saranan Presiden KOM itu bagi memastikan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia menjadi acara berprestij bagi sukan olahraga Malaysia. Dengan penyertaan atlet elit pasti akan memberi peluang dan ruang kepada pemain-pemain junior untuk bersaing dan menimba pengalaman dari mereka yang telah bersaing di peringkat antarabangsa.
Ia juga boleh mencungkil bakat-bakat baharu dan tak mustahil sekiranya munculnya permata baharau dalam acara olahraga melalui Kejohanan Terbuka Malaysia ini. Semoga ia menjadi medan terbaik bagi menghasilkan atlet-atlet olahraga negara yang boleh menyinar di masa hadapan serta memberi saingan kepada atlet elit.

Please follow and like us:
error0
post

Semoga Mohd Poad cepat sembuh

Jurulatih olahraga negara yang menaikkan prestasi atlet pecut seperti Asnawi Hashim, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap dikhabarkan berada dalam keadaan teruk selepas mendapat jangkitan kuman di paru-paru.
“Apabila saya tahu jurulatih dimasukkan ke hospital dengan keadaan agak kritikal, saya, Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam cuba untuk pulang sendiri ke Johor.

“Kami harap dia cepat sembuh seperti sedia kala kerana sudah hampir tiga minggu jurulatih tidak dapat bersama menjalani latihan,” kata Asnawi yang berlatih bersama Poad sejak berusia 13 tahun.
Atlet olahraga Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu berada di Cameron Highlands sejak Jumaat lalu bagi menjalani program yang dijadual tamat Sabtu ini. Semua atlet dipantau oleh pembantu Mohd Poad selepas jurulatih itu tidak dapat turun akibat masalah kesihatan.

Merujuk kepada status yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook milik Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim serta Instagram, Khairul Hafiz, hari ini, semua atlet itu memohon doa orang ramai agar jurulatih itu cepat sembuh.

“Assalamualaikum mohon doakan jurulatih saya (Poad) dilindungi dan diberi kesembuhan kembali seperti sedia kala … hari ini doktor nak komakan dia kerana jangkitan kuman di paru-paru semakin merebak … semoga dengan doa tuan-tuan diterima oleh Allah, amin,”.

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Sumber :-HMetro

Kami di Ligakampung juga mengucapkan semoga coach Poad cepat sembuh dan dapat meneruskan kerjaya untuk membentuk atlet olahraga Malaysia.

Please follow and like us:
error0
post

Khairul Hafiz perlu pecah rekod lagi untuk layak ke Sukan Komanwel

Pelari sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan, perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk layak dalam acara 200m Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, sekali gus menambah tekanan buat penampilan sulungnya dalam temasya itu.

Khairul Hafiz perlu melepasi had kelayakan kategori B yang telah ditetapkan, iaitu 20.64 saat.

Realitinya, Malaysia terpaksa menunggu selama 49 tahun sebelum Khairul Hafiz berjaya memecahkan rekod 200m kebangsaan, 20.90s, dalam Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Pelari kelahiran Melaka itu baru pulih daripada kecederaan hamstring dan kesuntukan masa untuk membuat persiapan rapi bagi melayakkan diri dalam acara 200m.

“Untuk mencatatkan masa melepasi had kelayakan 200m adalah sukar tetapi jika berjaya melakukannya, ia adalah satu habuan buat saya,” katanya.

Setakat ini, dia sudah melepasi had kelayakan kategori B bagi acara 100m Sukan Komanwel berbekalkan catatan 10.24s ketika mara ke final Kejohanan Asia, Julai lalu.

Jika Khairul Hafiz mahu melayakkan diri dalam kategori A, dia perlu sekali lagi mengulangi larian terbaiknya bagi melepasi had kelayakan 10.15s.

Dia masih lagi menunggu keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai program latihan di Jerman yang sepatutnya bermula bulan depan.

“Ia terserah kepada pihak atasan untuk mengatur persiapan kami bagi menghadapi cabaran saingan tahun 2018. Tugas kami adalah berlatih dengan jurulatih, Poad Kassim, untuk meningkatkan prestasi,” tambahnya.

– Sumber :-Stadium ASTRO

Please follow and like us:
error0
post

Elena Goh teruskan aksi selaku atlet jalan kaki

Atlet jalan kaki negara, Elena Goh sudah mula kembali untuk meneruskan kariernya. Pemenang pingat emas acara 10 kilometer jalan kaki itu sebelum ini terganggu emosi selepas terdapat pihak yang mempertikaikan kemenangannya ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu.
Ia berikutan isu pelanggaran peraturan ketika aksi tersebut yang kini telah memihak kepadanya. (boleh google sendiri isunya..)

Elena,23 bersama jurulatih yang juga lagenda atlet jalan kaki, Teoh Boon Lim sedang merangka untuk karier muda ini.
Untuk tahun depan, keutamaan adalah untuk bertanding dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia dalam acara 20 kilometer. Ini kerana kedua-dua temasya besar itu hanya mempertandingkan acara 20 km dan tiada acara 10 km.

“Pada KL2017 yang lalu saya beraksi dalam acara 10km dan saya sudah lama tidak beraksi dalam acara 20km selepas menjalani pembedahan di kedua-dua belah lutut dua tahun lalu.

“Saya memang dalam perancangan untuk kembali berlatih semula untuk jarak 20km, tapi ia memerlukan sedikit masa,” katanya.

Elena yang mempunyai catatan terbaik 1 jam 41 minit dalam acara 20 kilometer itu pernah melakukan di Kejohanan Jalan Kaki Asia 20 km dan berada di kedudukan keenam Asia.

Sumber :-HMetro

Please follow and like us:
error0
post

Khairul Hafiz bakal berkelana di Jerman

 

Jerman sah menjadi destinasi kem latihan Khairul Hafiz Jantan bagi menghadapi Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England, Mac depan, sekaligus menyaksikan dia terpaksa membatalkan program latihan di Jepun.

Perkembangan itu disahkan jurulatih pecut negara, Poad Kassim, dan Khairul Hafiz juga akur dengan keputusan itu.

Pada awalnya, Jepun merupakan pilihan Khairul Hafiz kerana mahu menguji diri di samping bintang meningkat naik negara itu, Abdul Hakim Sani Brown.

Abdul Hakim Sani Brown, pelari pecut muda dari Jepun

Seperti perancangan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini, mereka akan ke Mannheim, Jerman selama sebulan pada Februari nanti.

Jerman dimuktamadkan atas faktor memudahkan penyesuaian diri dengan persekitaran di Eropah.

“Kami memilih untuk berlatih di Jerman. Apa-apa kejohanan yang besar, jurulatih akan melakukan yang terbaik untuk dia, untuk mengejar catatan masa yang kami sasarkan,” kata Poad.

“Kejohanan dalam dewan itu adalah 60m sahaja tetapi saya lari 100m. Mungkin ia pengalaman baru. Saya pun baru baik daripada kecederaan. Saya pulang ke Johor untuk membuat pemulihan bersama jurulatih (Poad),” kata Khairul Hafiz.

Ini sebahagaian daripada perancangan musim 2018 buat Khairul Hafiz, termasuk kem di Australia selepas aksi di Birmingham bagi menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast tahun depan.

Poad dan Khairul Hafiz juga menanti maklum balas daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung statusnya untuk disenaraikan sebagai atlet Program Podium.

“Dalam Program Podium, perancangannya datang daripada jurulatih juga. Saya rasa tiada masalah untuk perkara itu. Cuma pihak Podium akan membantu kami untuk meningkatkan prestasi Khairul,” tambah Poad.
Stadium Astro

Please follow and like us:
error0
post

Nauraj kandas untuk ke final

Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa untuk layak ke final acara lompat tinggi Kejohanan Dunia di London terkubur selepas hanya berjaya melepasi angka 2.26 meter sahaja.
Atlet kelahiran Johor berusia 25 tahun itu gagal untuk menempatkan diri di kalangan 12 peserta terbaik selepas hanya menduduki tangga ke 20.

Ketika percubaan untuk 2.29 meter, beliau gagal untuk melepasi catatan yang hanya kurang satu sentimeter dari rekod kebangsaan yang diciptanya di Terbuka Singapura.
Selepas mengatasi ketinggian 2.17 meter dan 2.22m pada percubaan pertama, Nauraj memerlukan dua percubaan untuk melepasi 2.26m.

Di temasya Olimpik Rio tahun lalu, Nauraj gagal ke final menerusi kiraan semula tetapi kali ini, 16 peserta lain berjaya melepasi 2.29m dan terpaksa bersaing di ketinggian 2.31m yang menjadi tanda aras untuk ke final.

 

Antara yang layak ke final ialah atlet lompat tinggi nombor satu dunia, Mutaz Essa Barshim dari Qatar selain juara dunia 2013, Bohdan Bondarenko dari Ukraine.

Atlet yang tersingkir pula ialah Zhang Guowei dari China yang juga pemenang pingat perak edisi 2015 apabila hanya melepasi 2.22m.

Ketika cabarannya di Kejohanan Dunia sudah berakhir, Nauraj akan kembali ke ibu negara untuk menyertai Sukan SEA di mana dia bakal memburu emas ketiga berturut-turut.
– HMetro

Walaupun gagal namun diucapkan syabas kepada Nauraj yang layak ke Kejohanan Dunia secara merit. Semoga ia menjadi pengalaman untuk beliau memperbaiki teknik lompatan dan berjaya mendapatkan pingat emas di Sukan SEA pada bulan ini.

Please follow and like us:
error0
post

Pelari pecut wanita digugurkan sebab masalah displin

Atlet pecut wanita, S Komalam Shally digugurkan dari skuad olahraga negara atas masalah displin. Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan drastik akibat masalah atlet pecut wanita itu.
Menurut Pengurus Pasukan Olahraga negara ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan, penamaan atlet itu bermula dengan jawatankuasa pemilihan KOM dengan kuasa penuh oleh KOM.

Pengguguran Komalam dibuat atas rentetan beberapa peristiwa yang disebabkan oleh disiplin atlet itu. Nasihat, peringatan, ulangan dan amaran sudah diberi. Tapi perkara ini terus berulang.

“Jadi KOM perlu buat keputusan dan saya sendiri yang mencadangkan kepada KOM untuk menggugurkan Komalam selepas berbincang dengan jurulatih yang bertanggungjawab.

“Demi keharmonian pasukan perkara ini perlu dilakukan kerana detik-detik terakhir ini boleh mengganggu persediaan pasukan. Maka dengan ini keputusan untuk menggugurkan Komalam perlu dilakukan,” katanya.

Menurut Salim, Komalam digugurkan daripada pasukan pada 4 Ogos dengan Komalam membuat rayuan sehari selepas itu.

Semalam beliau menegaskan KOM tetap dengan keputusan untuk menolak rayuan Komalam.

Pengguguran itu bermakna hanya Zaidatul Husniah Zulkifli akan beraksi dalam acara 200m dengan tempat Komalam dalam acara 4x100m akan ditentukan kelak.

Kata Salim, ketiadaan Komalam bagaimanapun tidak menjejaskan sasaran pingat negara kerana dia tidak diletakkan dalam senarai atlet yang mampu menyumbang emas.

Catatan terbaik atlet berusia 29 tahun itu dalam acara 100m adalah 11.76saat yang dilakukan tahun lalu dan turut berada dalam kuartet 4x100m yang memegang rekod kebangsaan 45.18s bersama-sama Zaidatul Husniah, Siti Fatimah Mohamad dan Nurul Faizah Asma Mazlan ketika Kejohanan Trek dan Padang Asia di India bulan lalu.

– HMetro

Keputusan drastik tapi sekiranya memang benar masalah displin adalah puncanya, Rugilah beliau kerana terlepas peluang beraksi di tempat sendiri. Harap menjadi pengajaran kepada atlet lain

Please follow and like us:
error0