post

Kegagalan skuad bolasepak Harimau Muda di Sukan SEA 2015 – Apa yang perlu dikaji

Mungkin peminat bolasepak Harimau Muda sedang dalam keadaan kekecewaan selepas perjalanan skuad bawah 23 tahun hampir pasti tamat di peringkat kumpulan dalam kejohanan Sukan SEA 2015.
Kegagalan ini berikutan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee hanya mampu memungut 3 mata dari 3 perlawanan. Skuad Malaysia yang memerlukan kemenangan pada perlawanan ketiga menentang Thailand pada petang tadi tidak mampu mencapai sasaran selepas tumbang 1-0 pada juara bertahan.

Berbeza dengan aksi ketika menentang pasukan Vietnam tempohari, pasukan negara bermain dengan lebih baik pada perlawanan ini. Namun ianya tidak mencukupi apabila pasukan bawah 23 Thailand berjaya mencipta jaringan pada minit ke 81 melalui ketua pasukan Sarach. Walaupun pemain Malaysia mempunyai beberapa peluang namun ianya tidak mampu diterjemahkan sebagai gol.
Apapun keputusan telah diperolehi dan nampaknya pasukan bolasepak bawah 23 negara bakal pulang awal ke Malaysia. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Antaranya ialah :-

1) Secara peribadi, saya merasakan Datuk Ong Kim Swee sudah boleh meletak jawatan secara terhormat. Bukan mengaku kalah namun ianya lebih baik dari dipecat oleh FAM. Bukan menidakkan keupayaan beliau membimbing pasukan negara namun beliau perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini. Mungkin pemilihan pemain, strategi dan latihan yang dilaksanakan sudah tidak relevan lagi untuk skuad Harimau Muda.

2) Perlu perubahan drastik pada pemilihan pemain. Pasukan Harimau Muda ini tidak mempunyai pemain yang berkaliber, tidak seperti ketika memenangi emas Sukan SEA yang mempunyai barisan pemain berpotensi. Walaupun ada beberapa pemain yang menunjukkan potensi baik seperti Nurridzuan dan Matthew Davies namun secara keseluruhannya pemain kita tidak mencapai tahap terbaik.

matthew-davis-pahang

3) Kurangkan politik. Kenapa saya mengaitkan politik ? Jika anda ingat, pada tahun ini Datuk Ong Kim Swee direhatkan sementara untuk melatih skuad Harimau Muda. Tempatnya digantikan oleh jurulatih Razip Ismail. Dan selepas itu, Ong Kim Swee menyambung kembali melatih untuk kejohanan ini. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima kerana sepatutnya samada Ong Kim Swee tidak diberi tugas di Sukan SEA atau beliau tidak sepatutnya direhatkan.
Sudah pasti ia memberi kesan sedikit sebanyak pada proses pemilihan dan latihan yang ingin diterapkan.

4) Beri tumpuan sehingga di peringkat akar umbi. Kenapa masih terdapat beberapa nama pemain yang dipilih namun tiada peningkatan? Tidak perlu menyebut nama namun pemilihan perlu lebih teliti. Selain itu, dimanakah pelajar-pelajar di Sekolah Sukan? Jika ada dimanakah perkembangannya ? Masih tidak nampak potensi sekolah bolasepak di Malaysia ini. Namun ada tanda positif apabila terdapat usaha membangunkan bolasepak di peringkat kanak-kanak.

5) Tiada pemain gantian setaraf. Sebagai contoh, ramai peminat tertanya kenapa Rozaimi tidak dipilih? Menurut Ong Kim Swee, beliau tidak cergas namun penggantinya tidak mampu berfungsi dengan baik dalam kejohanan sebesar ini. Malaysia perlu melahirkan pemain-pemain yang mampu bersaing dan bukan asyik-asyik pemain itu sahaja. Persaingan sihat akan menaikkan prestasi skuad muda negara.

6) Bermain di Liga Slovakia bukanlah satu idea baik. Selagi pemain terbabit bermain dengan rakan-rakan mereka sahaja maka perubahan tidak dapat dilakukan. Lainlah kalau mereka bermain untuk pasukan kelab tersebut dan terus membesar dengan kelab-kelab Eropah.

7) Lantik jurulatih import. Mungkin boleh melantik jurulatih dari Jepun mahupun Korea Selatan. Ini kerana jurulatih mereka mempunyai displin yang tinggi dan mungkin mampu membentuk pemain-pemain menjadi lebih baik. Bukan jurulatih tempatan tidak bagus tapi idea masih statik sedangkan pasukan jiran semakin meningkat. Jadi percubaan jurulatih import mungkin salah satu caranya.
Inilah serba sedikit pendapat saya tentang episod kegagalan skuad Harimau Muda di Sukan SEA 2015.

Please follow and like us:
error0

Ong Kim Swee, Dollah gugur pemain utama

Kedua jurulatih kebangsaan iaitu Dollah Salleh bagi skuad senior Harimau Malaya dan Datuk Ong Kim Swee mempunyai misi tersendiri. Dollah Salleh dalam misinya membawa skuad pemain kebangsaan dalam perlawanan pertunjukan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham manakala Datuk Ong Kim Swee dalam cabaran Sukan SEA pada bulan hadapan.
Mereka dalam menyenarai akhir pemain untuk kejohanan dan terdapat beberapa pemain yang digugurkan. Bagi skuad Dollah Salleh, 3 pemain digugurkan dimana Ramadhan Hamid, penjaga gol Harimau Muda tidak berada didalam senarai kerana hanya 2 penjaga gol yang layak disenaraikan. Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar pula mengalami kecederaan.
Penyerang Selangor Afiq Azmi pula digugurkan kerana posisi penyerang telah penuh diisi oleh penyerang import. Walaubagaimanapun Afiq dijangka akan bermain ketika skuad Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan 2 perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Senarai penuh pemain yang akan diturunkan ketika menentang Totenham Hotspur adalah Khairul Fahmi Che Mat, Zamir Selamat, Robert Cornthwaite, Thiago Junio, Muslim Ahmad, Afif Amiruddin, Ronny Harun, Yong Kuon Yong, Zubir Azmi, Azmi Muslim, Nasir Basharuddin, Ashfaq Ali, Joseph Kalang Tie, Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Syamim Yahya, Christie Jayaseelan, Paulo Rangel, Guilherme De Paula, Ahmad Hazwan Bakri dan Norshahrul Idlan Talaha.

Bagi skuad Harimau Muda bawah 23 tahun pula, kejutan oleh Datuk Ong Kim Swee apabila menggugurkan pemain Rozaimi Abdul Rahman dan Muhammad Ferris Danial dalam kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Singapura. Sudah pasti akan timbul tanda tanya memandangkan kedua-dua pemain itu merupakan pemain utama sebelum ini. Dalam kejohanan Sukan SEA, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan TImor Leste.

ong-kim-swee
Berikut merupakan senarai penuh pemain bawah 23 yang terpilih :-
Mohd Farhan Abu Bakar, Mohamad Firdaus Muhamad, Shahrul Mohd Saad, Muhamad Syazwan Tajudin, Mohamad Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Adam Nor Azlin, Mohamad Amer Saidin, Matthew Thomas Davies, Saarvindran Devanndran, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Saiful Ridzuwan Selamat, Gary Steven Robbat, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari, Syahrul Azwari
Ibrahim, Muhammad Faizat Mohamad Ghazli, Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, Muhamad Syafiq Ahmad and Kumaahran Sathasivam.

Sumber :- ASTRO Awani & Goal.com

Please follow and like us:
error0
post

Keputusan Perlawanan Kelayakan Piala AFC B23 – Malaysia gagal ke peringkat seterusnya

Pasukan bolasepak bawah 23 Tahun Negara layak untuk ke peringkat seterusnya dalam kejohanan Piala AFC 2016. Pasukan Harimau Muda yang dibimbing oleh jurulatih, Razip Ismail tumpas tipis dengan keputusan 0-1 di tangan gergasi bolasepak Asia, Jepun.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan ini dimana pasukan negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang tumpas di gelanggang sendiri. Pasukan negara berpeluang mendapatkan gol terutama peluang pada separuh masa kedua melalui pemain pertahanan, Arif Farhan namun tidak mampu diterjemahkan sebagai gol.
mas-japan
Memang diakui level antara skuad Malaysia dan Jepun masih jauh lagi. Walaupun skuad negara mempunyai beberapa peluang baik untuk mendapatkan gol tetapi secara keseluruhannya perlawanan dikuasai oleh skuad lawan. Banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukan Malaysia. Kawalan lemah serta kekurangan fizikal dimana bola mudah dirampas oleh pasukan lawan menjadi punca kegagalan skuad negara.
Mungkin kekalahan pada perlawanan pertama menentang Vietnam tempohari menutup peluang skuad negara. Apapun diharap ada penambahbaikan lagi pada masa hadapan.

Please follow and like us:
error0
post

Kenapa skuad Harimau Muda masih gagal di Sukan Asia ?

Semua peminat bolasepak tempatan sudah mengetahui episod kegagalan skuad bolasepak bawah 23 tahun untuk meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir. Tumpas kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir kumpulan A telah meranapkan impian untuk melakar kejutan ke suku akhir.
Perlawanan yang berkesudahan skuad Harimau Malaya tumpas 0-3 beraksi dengan 10 pemain hampir 60 minit menghadirkan kritikan kepada para peminat bolasepak tempatan. Saya bukanlah pakar dalam bolasepak namun sebagai salah seorang peminat bolasepak tempatan mungkin perkara berikut adalah penyebabnya :-
HARIMAU MUDA / ASIAN GAMES INCHEON

Kekurangan pemain gantian (backup)
– Dalam kejohanan kali ini diperhatikan bahawa terdapat beberapa pemain utama yang pernah menjadi sandaran utama tidak beraksi. Pemain seperti Syahrul Azwari, Rozaimi Abd Rahman tiada dalam senarai akibat kecederaan. Penggantinya pula tidak setanding pemain-pemain ini. Begitu juga pemain-pemain yang pernah bersama Harimau Muda sebelum ini yang telah lebih had usia. Masih tiada yang mampu menggantikan mereka.

Keadaan fizikal yang masih tidak setanding
– Fizikal pemain kita masih tidak setanding dengan pasukan besar Asia. Lihat sahaja perbezaan dengan pemain Korea Selatan dan Arab Saudi. Mungkin pada awal-awal perlawanan skuad Malaysia masih mampu bersaing namun kelebihan fizikal pasukan lawan terserlah apabila perlawanan memasuki separuh masa kedua. Secara peribadi, saya merasakan skuad negara tidak mampu untuk menangani skuad Arab Saudi tempohari walaupun bermain 11 orang pada separuh masa kedua.
Masalah stamina yang rendah sudah lama diperkatakan namun nampaknya masih sukar untuk diatasi. Cuba kita lihat pasukan bolasepak hebat yang masih mampu bersaing dalam satu perlawanan walaupun kekurangan satu pemain.

Kelemahan mental
– Kelemahan mental juga menjadi satu isu. Ketika perlawanan menentang Arab Saudi tempohari didapati terdapat ramai pemain Malaysia yang kurang kesabaran sehingga mendapat kad kuning. Ia memberi impak kepada persembahan pasukan.

Kurang keserasian
– Secara peribadi, isu kurang keserasian adalah pelik. Ini kerana kebanyakan dari pemain yang beraksi telah bersama dalam tempoh yang lama. Bukan sekadar untuk perlawanan Sukan Asia, kebanyakan mereka telah bersama sebelum ini. Entah apa silapnya, mereka tidak mampu membentuk pasukan sendiri sehingga berharap pada pemain-pemain di Liga Super dan pemain senior. Ini memang mengejutkan apatah lagi pasukan ini baru menjalani latihan di New Zealand.

Kesilapan strategi jurulatih
– Jurulatih juga memainkan peranan dalam kegagalan. Secara peribadi, penukaran Junior Estadl sebagai penyerang pada separuh masa kedua amat mengejutkan. Pemain yang tidak biasa bermain dalam posisi tersebut pastinya sukar memberi impak dan ia berlaku pada perlawanan menentang Arab tu.

Okay, cukuplah serba sedikit komen dari seorang peminat yang inginkan kejayaan pada pasukan bolasepak tempatan. Semoga pasukan bolasepak perlu belajar dan memperbaiki dari semasa ke semasa. Mungkin satu pembaharuan perlu dilakukan oleh pihak yang berkaitan.

Please follow and like us:
error0
post

Keputusan Perlawanan Bolasepak Sukan Asia – Malaysia lwn Arab Saudi

Hari ini merupakan penentuan bagi skuad Harimau Muda samada mampu meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya atau terpaksa menjadi kontinjen antara terawal yang akan pulang ke Malaysia.
Perlawanan terakhir penentuan kumpulan A bagi skuad bimbingan Ong Kim Swee berlangsung di Stadium Goyang, Korea Selatan pada jam 4.00 petang. Malaysia perlu menang pada perlawanan hari ini untuk ke suku akhir dan ke peringkat seterusnya.
HARIMAU MUDA / ASIAN GAMES INCHEON

Perlawanan berlangsung pada jam 4.00 petang menemukan skuad bawah 23 tahun menentang Arab Saudi. Sudah pasti perlawanan menentang Arab Saudi adalah sukar memandangkan saiz fizikal dan skill pasukan lawan. Namun jurulatih Ong Kim Swee pasti mempunyai perancangan untuk menembus kubu pertahanan Arab Saudi sekaligus mampu mengejutkan pasukan yang pernah menjadi gergasi Asia pada satu masa dahulu.
Walaupun pasukan Malaysia akan menyerang namun diharap kubu pertahanan serta tengah lebih berhati-hati agar kubu tidak dibolosi oleh pasukan lawan. Dengan semangat Malaysia Boleh pasti mereka akan bermain berhabis-habisan untuk menutup mulut pengkritik di luar sana.

Keputusa Perlawanan Bolasepak Sukan Asia 2014 – Malaysia vs Arab Saudi

Malaysia vs Arab Saudi 0-3 (0-0)
56′ Al Hafith (ARAB)
70’ Omar Kanabah (ARAB)
84’ Ahmad Asherri (ARAB)
** Tamat sudah harapan pasukan Harimau Muda untuk mendapatkan keputusan terbaik. Nampaknya pasukan bimbingan Ong Kim Swee akan pulang awal dengan kekecewaan.

Please follow and like us:
error0
post

Bila BPL telah bermula, Sasaran bolasepak di Sukan Asia

Bagi peminat bolasepak terutama yang meminati Bolasepak Liga Inggeris pastinya sedang menunggu keputusan perlawanan pasukan bolasepak masing-masing. Populariti bolasepak Liga Perdana Inggeris memang cukup menakjubkan apabila terdapat jutaan peminat di Malaysia ini.
Mungkin sesetengah pembaca blog ligakampung.com juga mempunyai pasukan bolasepak Liga Perdana Inggeris yang diminati. Samada meminati secara tetap atau lalang ia terpulang kepada masing-masing. Sudah pasti ada juga yang bersengkang mata untuk melihat pemain pujaan seperti Rooney, Ramsey, Eden Hazard, Yahya Toure atau Rahim Sterling beraksi.
Logo BPL

Namun kepada penyokong bolasepak, jangan pula lupa pada bolasepak tempatan. Aksi Piala Malaysia 2014 yang telah memasuki perlawanan pertama peringkat kumpulan perlu mendapat sokongan dari penyokong tempatan. Jangan pula nanti di kedai mamak ramai yang bersiap sedia dengan baju Manchester United, City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool tapi tiada pula penyokong yang menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Malaysia samada di stadium mahupun di kaca tv.
Sudah tentu pasukan tempatan perlu mendapat lebih perhatian oleh peminat bolasepak tempatan. Tak gitu? Pemain seperti Azamuddin Akhil, Safiq Rahim, Badrol Bakhtiar, Badri Radzi dan ramai lagi juga perlu menjadi sebutan peminat bolasepak tempatan kan?

piala malaysia group
jpg images

Kumpulan pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia 2014

Berbalik kepada isu bolasepak tempatan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah meletakkan sasaran suku akhir kepada skuad bawah 23-tahun pada Sukan Asia 2014 nanti untuk mendapat status Kategori A (sekarang ni skuad bolasepak beraksi dalam Kategori B dimana perlu FAM perlu mengeluarkan belanja sendiri). Terdapat beberapa penganalisis mengatakan bahawa sasaran itu tidak realistik. Ini kerana tempoh persiapan agak singkat bagi pasukan bawah 23 tahun yang dikendalikan oleh jurulatih Ong Kim Swee. Memang agak sukar untuk menjangkakan samada sasaran itu realistik atau tidak. Secara peribadi sayasatu sasaran yang tinggi perlu ditetapkan. Mungkin suku akhir tidaklah terlalu tinggi berbanding menetapkan sasaran memenangi pingat. Malahan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga secara dasarnya bersetuju dengan sasaran tersebut (Utusan, 16/8/2014 ).
Jadi pihak berkaitan dengan pasukan perlu bertungkus lumus untuk menyiapkan pasukan agar dapat mengejar sasaran ini. Mungkin nampak agak sukar tapi tidak mustahil. Apatah lagi pasukan Harimau Muda sudah banyak berlatih di luar negara dan juga bermain sebagai satu pasukan dalam tempoh yang lama. Jadi keserasian itu pasti telah terjalin dan hanya perlu digilap sebaik mungkin oleh barisan jurulatih. Tak gitu?

Please follow and like us:
error0
post

Perlukah Harimau Muda ke Liga Australia ?

Pasukan Harimau Muda yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee telah mendapat perancangan persatuan bolasepak Malaysia (FAM) apabila telah dirancang untuk beraksi di Liga Queensland, Australia.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menyokong usaha untuk memberi pendedahan di Liga Queensland, Australia. Menurutnya juga, penglibatan skuad Harimau Muda A di Liga luar ini dapat memberikan pendedahan dari segi skil dan juga aspek fizikal.

Beliau juga yakin keputusan itu merupakan langkah pelaburan masa hadapan untuk pembangunan sukan bolasepak negara. Selain Harimau Muda ke Queensland, skuad Harimau Muda B bakal bermain di Liga Singapura dan Harimau Muda C ke Slovakia yang merupakan program pembangunan dan pendedahan bagi meningkatkan lagi corak permainan pasukan Harimau Muda.
Sinar Harian

Secara peribadi saya bersetuju dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan dengan pendedahan skuad Harimau Muda ke Liga Queensland. Walaupun mungkin ia melibatkan kos yang banyak namun ia merupakan salah satu program pendedahan yang baik untuk pemain muda negara. Tapi sebolehnya ada juga pemain kita yang mendapat perhatian kelab-kelab di Australia untuk bermain dengan pasukan kita. Jika hanya berharap bermain di liga sahaja pasti sukar untuk meningkatkan pembangunan barisan negara.
Mungkin bermain di Liga Australia dengan pemain yang lebih senior dan berfizikal lebih besar mampu mematangkan pemain negara sekiranya peluang ini digunakan sebaik-baiknya. Diharap program ini mampu membuahkan hasil sekaligus terbukti berkesan dengan memenangi kejohanan bolasepak yang bertaraf tinggi seperti Sukan Asia, Sukan SEA dan mungkin juga layak ke Olimpik…

Sekian

Please follow and like us:
error0