post

Berakhirnya GP F1 di Malaysia

Semua sedia maklum bahawa hari ini adalah hari terakhir F1 diadakan di Malaysia. Ramai peminat F1 yang datang ke Sepang International Circuit (SIC) berasa sedih kerana akhirnya tidak akan nampak lagi kelibat deruan kereta yang cukup laju.
Admin bukanlah peminat F1 tapi sebagai peminat sukan akan terasa juga kehilangannya. Admin tak pandai nak menulis pasal F1 tapi tertarik dengan satu artikel dari Utusan ni. Mungkin anda boleh baca untuk kenangan kita..

HARI ini adalah hari terakhir penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Malaysia, jadi jika anda mahu merasai suasana perpisahan silalah ke Litar F1 Sepang. Sebenarnya, gesaan ini dikhususkan kepada anda yang tidak pernah menjejak kaki langsung ke acara ini sejak 18 tahun lalu.

Bagi peminat tegar lumba F1, mereka mahu menyorak pelumba pasukan F1 Mercedes AMG Petronas iaitu juara dunia, Lewis Hamilton. Pasukan ini ditaja oleh syarikat minyak negara, Petronas yang sekali gus ‘memberi hak’ untuk kita menganggapnya sebahagian daripada entiti Malaysia.

Tidak salah. Dalam pasukan F1 Mercedes AMG Petronas merupakan pasukan global. Mercedes AMG adalah syarikat dari Jerman, ibu pejabat F1 pasukan terletak di United Kingdom. Minyak lumba menggunakan minyak Petronas yang dibangunkan di kilang miliknya di Turin, Itali.

Penamatan penganjuran lumba F1 di Malaysia yang bermula pada 1999 adalah disebabkan kos yang tinggi. Tiada kepastian bila Malaysia akan kembali memohon menjadi penganjur semula. Bergantung kepada ekonomi lima atau enam tahun akan datang, paling cepat.

Kerajaan yang telah membiayai penganjuran ini sekian lama, telah mengumumkan pada April lalu ia tidak mampu lagi membelanjakan AS$67 juta setahun. Pulangan atas pelaburan sekarang tidak seimbang. Penonton berkurangan, dan hakikatnya, lumba F1 tidak benar-benar digemari rakyat Malaysia berbanding lumba motosikal. Oleh itu, Litar F1 Sepang kekal menganjurkan Moto GP kerana sambutan hebat.

Penarikan diri Malaysia daripada F1 ini bukan luar biasa atau eksklusif. Terdahulu Korea Selatan dan India telah menarik diri, meninggalkan hanya tiga negara di Asia yang masih rela iaitu China, Jepun dan Singapura.

Bagaimana dengan Petronas? Tiada isu berbangkit. Penajaannya terhadap pasukan F1 tersebut masih berterusan, malah diperteguhkan sehingga tahun 2020. Permintaan untuk menghasilkan minyak lumba yang bersesuaian dengan enjin Mercedes, merupakan satu cabaran yang membina kemahiran dan reputasi Petronas di peringkat global.

Sempena perlumbaan terakhir F1 di Litar F1 Sepang ini, Merrepak memperoleh data menarik dari Petronas sepanjang pembabitannya dalam dunia perlumbaan kereta F1 yang berprestij ini:

1 – Pembabitan Petronas dalam arena F1 bermula pada 1995, apabila ia membentuk perkongsian strategik dengan Sauber menerusi penajaan utama pasukan F1 Sauber-Petronas. Tujuannya mendapatkan platform untuk mempromosi jenama Petronas di peringkat antarabangsa, sekali gus membantu strategi perluasan global Petronas selain peluang meraih sinergi teknologi automotif yang relavan kepada industri minyak dan gas.

2 – Penajaan dalam Grand Prix Malaysia Petronas bermula 1999, membantu mempercepatkan pengiktirafan jenama dalam peta dunia sebagai destinasi baharu kalangan peminat sukan pemotoran.

3Pengiktirafan itu bertambah lagi menerusi perkongsian dengan pasukan F1 BMW, seterusnya menjadi kukuh dengan pasukan Mercedes AMG Petronas Motorsport.

4 – Dengan Mercedes, penyertaan Petronas di dalam F1 kini di tahap matang dan meluas daripada sekadar penaja pasukan menjadi entiti yang disegani dalam membantu prestasi optimum pasukan di litar lumba.

5 – Hari ini, Petronas adalah sumber teknikal prinsipal dalam mereka bentuk dan membangunkan bahan api, pelincir dan cecair fungsi bagi Mercedes AMG Petronas Motorsport. Sejak 2010, Petronas telah membangunkan lebih 350 bahan tersebut bagi pasukan untuk diuji meliputi lima produk perlumbaan: Petronas Primax (bahan api), Petronas Syntium (minyak enjin), Petronas Tutela (transmisi, hidraulik, cecair penyejuk sistem pemulihan kuasa (ERS) dan Petronas Durance. Produk ini menyumbang kepada kejuaraan dunia tiga kali berturut-turut dari 2014 hingga 2016.

6 – Hubungan kerja erat dengan Mercedes juga membolehkan Petronas bekerjasama dalam pelbagai platform keupayaan insaniah yang mempromosikan perkongsian pengetahuan dan meningkatkan pertumbuhan individu dengan Petronas. Pada masa ini, terdapat antara 10 hingga 12 saintis terlibat dalam mereka formula untuk cecair F1. Mereka berperanan membangunkan produk seperti Petronas Primax, Petronas Syntium and Petronas Tutela, mengadaptasi apa yang dipelajari di litar lumba ke jalan raya.

7 – Di peringkat global, Petronas berada di tangga ke-121 dari segi nilai jenama di dalam Brand Finance Top 500 Global Brands, dan dalam 10 Jenama Minyak dan Gas Terbaik bersama dengan Shell dan Total yang juga terbabit dalam F1.

8 – Petronas sejak 23 September lalu, telah menganjurkan pelbagai acara di ibu negara bersempena perlumbaan hari ini, bertema ‘Kisah Kami Berterusan’ yang memaparkan pertunjukan fesyen gadis litar oleh Rizman Ruzaini, perlumbaan maya, cabaran pit-stop, persembahan artis tempatan, aktiviti seronok dan peraduan yang memenuhi cita rasa semua lapisan usia dan menonton secara langsung di Litar F1 Sepang serta sesi bertemu dengan Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

9 – Perhatikan kereta lumba Mercedes F1 W08 EQ Power+ car yang dihias dengan mesej khas Thank You Malaysia. Pastikan anda dapat merakam gambarnya!

10 – Semua acara ini telah dirancang teliti oleh pasukan khusus Petronas dan Mercedes AMG PETRONAS Motorsport yang telah bertungkus lumus berbulan-bulan sebelum kontinjen F1 tiba di Sepang.

Seperti dinyatakan di atas, banyak manfaat telah diterima oleh negara dan Petronas secara khususnya, sepanjang 18 tahun pembabitan dalam perlumbaan F1. Kita terima keadaan ekonomi semasa tidak mengizinkan kita terus menganjurkan F1.

Mungkin bila sudah teguh kembali nanti dan yuran penganjuran yang dikenakan oleh FIA tidak menggunung, lumba F1 akan kembali ke Malaysia suatu hari kelak.

Artikel Penuh:-Utusan© Utusan Melayu (M) Bhd

Keputusan GP F1 Malaysia 2017

Max Verstappen juara GP F1 Malaysia 2017

Keputusan GP Akhir Malaysia menyaksikan Max Verstappen dari pasukan Red Bull Racing TAG Heuer menumpaskan Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes untuk memenangi kejohanan ini. Tempat ketiga pula disandang oleh Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull Racing TAG Heuer.

Please follow and like us:
error0
post

F1 2017 terakhir di Sepang

Peminat sukan permotoran F1 nampaknya akan mendapat berita kurang gembira. Perlumbaan F1 yang berlangsung bermula tahun 1999 akan berakhir berumla tahun depan. Kejohanan berprestij itu akan ditamatkan kontrak penganjuran bermula tahun 2018 akibat penurunan pulangan yang semakin ketara berbanding kos penganjuran kejohanan tersebut.

“Pada peringkat awalnya penganjuran F1, perlumbaan ini dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.

“Namun begitu, sudah sampai masanya kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan,” jelas Perdana Menteri Malaysia menerusi blog rasminya pada Jumaat.

“Pada tahun 1999 hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij ini termasuk dua negara Asia, tetapi ianya kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan melibatkan enam negara Asia, sekali gus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara.

“Penamatan penganjuran ini akan membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan,” ujarnya.

“Kerajaan akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaik taraf kemudahan di SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

“Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia,” tambah beliau.

Mstar

Mungkin ini satu keputusan yang sesuai sekiranya kejohanan ini tidak mendapat pulangan yang diharapkan. Walaubagaimanapun diharap Litar Sepang dapat digunakan untuk kejohanan permotoran lain terutama di peringkat tempatan. Ia penting kerana boleh memberi peluang kepada para pelumba terutama dalam negara untuk mengetengahkan bakat mereka sekaligus mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Please follow and like us:
error0