post

Kontinjen Malaysia capai prestasi terbaik pada Asiad 2018 – Abdul Azim

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) – Kontinjen Malaysia mencapai sasaran terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila mengutip tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa pada edisi ke-18 temasya sukan berkenaan yang akan melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini, malam ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kejayaan berkenaan mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila Malaysia hanya berjaya meraih lima mas, 14 perak dan 14 gangsa.

“Kita membahagikan kejayaan kontinjen kita kepada tiga bahagian iaitu prestasi cemerlang, memuaskan dan gagal, ” katanya pada sidang media berhubung pencapaian atlet Malaysia pada Asiad 2018 di sini, hari ini.

Sukan yang mencapai taraf cemerlang, kata Abdul Azim, adalah tenpin boling (dua emas dan dua perak), berbasikal trek (satu emas, satu perak dan satu gangsa), skuasy (dua emas, satu perak dan dua gangsa), pelayaran (satu emas dan satu perak serta tiga gangsa) dan sepak takraw (satu emas dan satu perak).

Sukan yang mencapai taraf memuaskan adalah terjun (satu perak dan tiga gangsa), hoki lelaki (satu perak), ekuestrian (satu perak), taekwondo (satu gangsa), memanah (satu gangsa), bola sepak lelaki (mara ke pusingan kedua), bola keranjang 3×3 wanita (mara ke suku akhir), ragbi tujuh sebelah (tempat kelima), paragliding (kelompok lima pasukan terbaik) dan hoki wanita (tempat kelima).

Beliau menyifatkan sukan yang gagal pada kali ini adalah pencak silat, karate, wushu, menembak, renang, renang artistik, olahraga, lawan pedang, golf, judo, sambo, tinju, bridge, gimnastik artistik dan berirama, bola baling, jet ski, kabaddi, ping pong, badminton, kenu/kayak, sukan kasut beroda, mendayung, sukan mendaki, triathlon dan bola tampar pantai.

Abdul Azim turut memuji dua atlet di bawah kategori B (perbelanjaan ditanggung persatuan sukan) yang meraih pingat perak dan gangsa iaitu atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan pesilat negara, Mohamad Hazim Amzad, sambil memaklumkan enam rekod kebangsaan berjaya diperbaharui pada kali ini iaitu berbasikal trek (satu rekod), memanah (dua rekod) serta renang yang mencatat tiga rekod baharu.

“Dua pelayar kita turut berjaya melayakkan diri lebih awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Standard) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (Laser Radial),” jelasnya yang turut gembira kerana tiada atlet negara yang terlibat dalam penggunaan bahan terlarang pada kali ini.

Pada masa yang sama, Abdul Azim menegaskan beberapa persatuan terlibat terutamanya sukan subjektif seperti wushu, pencak silat ,karate selain badminton, perlu menilai semula keberkesanan program latihan atlet di bawah kelolaan masing-masing yang gagal memberikan impak positif kepada pungutan pingat kontinjen negara.

“Penglibatan sukan kategori B (perbelanjaan ditanggung persatuan) perlu dikaji semula dan mungkin kriteria pemilihan perlu kita perketatkan. Aspek sains sukan yang melibatkan kecergasan dan persediaan mental perlu ditingkatkan,” katanya sambil menambah satu bedah siasat akan dijalankan untuk beberapa sukan yang gagal mencapai sasaran pingat pada kali ini…..
– BERNAMA

Ligakampung kurang bersetuju dengan prestasi terbaik tu. Masih banyak yang perlu diperbaiki terutama sukan-sukan yang diharapkan membawa pingat namun tersasar jauh pencapaian.

 

Please follow and like us:
error0
post

Pelayar muda menang emas keenam negara

JAKARTA, 31 Ogos (Bernama) – Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang merupakan hadiah terbaik yang mampu diberikan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 hari ini.

Pelayar berusia 16 tahun itu menjadi penyumbang pingat emas termuda kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia dengan kutipan 20 mata penalti selepas berakhir 12 pusingan perlumbaan.

Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masih diraih wakil China, Wang Jianxiong (42 mata penalti) dan pelayar wanita India, Tomar Harshita dengan kutipan 62 mata penalti.

“Saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas kerana saingan pada hari ini amat sengit sebab saya baru sahaja bertukar acara daripada Optimist kepada Laser Terbuka 4.7 dan saya anggap ini hadiah terbaik mampu saya berikan kepada negara kita sempena Hari Kebangsaan hari ini.

“Saya memang berpuas hati dapat menang emas dan saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa saya, jurulatih, Persatuan Pelayaran Malaysia dan rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada atlet negara,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas berakhir perlumbaan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata beliau bercadang membawa ibu bapanya menunaikan umrah menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara yang bakal diterimanya hasil kejayaan pada hari ini.

Di bawah skim berkenaan, atlet yang meraih emas pada Sukan Asia akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan RM20,000 kepada pemenang pingat gangsa.

“Selain itu, saya juga bercadang membeli peralatan baharu pada bot saya dan selebihnya terpulang kepada ibu bapa saya,” kata anak jati Kedah itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0