SUKMA : Insiden pergaduhan cemari saingan bola sepak

Perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 di antara Johor dan Terengganu dalam Kumpulan B, dicemari dengan layangan empat kad merah susulan tercetus pergaduhan di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, semalam.

Insiden pada masa tambahan (minit ke-90+4) itu berpunca selepas berlaku provokasi tolak-menolak, menyaksikan seorang pemain Johor dilihat mula menendang seorang pemain Terengganu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Malah, insiden itu juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh setelah ditolak beberapa pemain.

Pengadil, Mohd Afiq Ahmad Nadzir, melayangkan kad merah kepada Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.

Perlawanan tersebut berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Johor.

Gol Terengganu, masing-masing dijaringkan Muhammad Ridzuan Mohd Razali dan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa pada minit ke-28 dan ke-60 manakala gol sagu hati Johor menerusi Mohamad Hariz Kamarudin (minit ke-65)

Sementara itu, juara dua kali berturut-turut acara bola sepak Sukma, Perak, terpaksa bekerja keras sebelum mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perlis dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam ini.

Perlis mendahului apabila bola terkena pertahanan Perak, Muhamad Farid Nezal, lalu menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-30. Perak terpaksa menunggu sehingga minit ke-82 untuk menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan penyerang gantian, Muhammad Hafidz Ahmad Kamaruddin.

Satu lagi aksi Kumpulan A pada sebelah petang di venue sama, menyaksikan ???????Sarawak dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata, setelah terikat seri tanpa jaringan.

Aksi esok akan melibatkan perlawanan Kumpulan D di antara Selangor dan Pahang pada jam 4.30 petang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung manakala Kedah akan bertemu Kelantan di Stadium TLDM pada waktu yang sama.

Bagi perlawanan Kumpulan C, Melaka akan bertemu Pulau Pinang di Stadium Mini Parit Buntar, jam 4.30 petang.

— BERNAMA

Dalam perkembangan berkaitan, PASUKAN bola sepak Sukma ke-19 Johor dan Terengganu diberi tempoh sehingga esok untuk menjawab insiden pergaduhan melibatkan perlawanan antara kedua-dua pasukan petang semalam.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat pertuduhan kepada kedua-dua pasukan berkenaan.
“Insiden ini di bawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang tindakan sepatutnya diambil di mana jawatankuasa disiplin akan membuat keputusan.

“Sehingga hari ini pasukan Johor sudah memberi laporan kepada jawatankuasa disiplin FAM,” katanya ringkas menjawab pertanyaan media di Pusat Media Sukma, di sini hari ini.

Ahmad Shapawi turut melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan sukan bola sepak dan berharap setiap pasukan mengawal emosi dan mengutamakan disiplin.

SUmber :-Sinar Harian

Video pergaduhan pemain Johor dan Terengganu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Archives