Skuad Hoki Wanita Sasar Empat Terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah merangka pelan untuk skuad wanita pada 2016 untuk memecah dominan dalam empat pasukan terbaik Asia.

Timbalan Presidennya Prof Dr S. Shamala menyifatkan 2016 sebagai tahun yang penting untuk melakukan persediaan dan pendedahan kepada pasukan negara bagi menghadapi beberapa kejohanan utama pada 2017 dan 2018.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian 2015, kita mempertahankan pingat emas Sukan SEA untuk kali keenam dan mempamerkan permainan cemerlang pada Liga Hoki Wanita Dunia Pusingan 2 sebelum tewas 0-1 kepada Poland pada separuh akhir dan terlepas peluang ke Olimpik.

“Sekarang kita ada Terry Walsh (pengarah teknikal) dan Muhammad Dharmaraj Abdullah (jurulatih). Dharmaraj memiliki rekod yang baik bersama pasukan remaja lelaki dan saya fikir beliau lakukan banyak perkara kreatif bagi memotivasikan pemain, jadi ia menjadi satu rangsangan apabila beliau menjadi jurulatih kami,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu beliau yakin pasukan wanita negara kelak mampu dibawa ketahap lebih tinggi dan berusaha menembusi penguasaan empat pasukan terbaik Asia yang didominasi India, Korea Selatan, China dan Jepun.

Sebagai rekod Malaysia kini berada di tempat ke-20 senarai Persekutuan Hoki Antarabangsa dengan 550 mata, sementara China pada kedudukan kelima (1,678 mata) diikuti Korea Selatan di tempat kesembilan (1,534 mata), Jepun di tempat ke-10(1,260 mata) dan India di tempat ke-13 (1,084 mata).

Antara program yang akan disertai pasukan wanita ialah Liga Hoki Australia untuk julung kalinya dan pengenalan semula Liga Hoki Remaja Wanita Kebangsaan (NWJHL).

hoki-wanita

Menurut Shamala yang juga Pengarah Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), keutamaan tahun depan ialah penganjuran NWJHL yang dijadualkan pada Februari atau Mac.

“Kami akan memanggil pasukan untuk pendaftaran tidak lama lagi, persediaan berjalan lancar. Kita ada liga wanita beberapa tahun lalu, pada 2000 kita ada tiga siri.

“Amat baik dapat perkenalkan semula liga untuk pertandingan jangka panjangbagi pasukan-pasukan tempatan. Tanpa liga yang baik, sukar untuk membangunkan pasukan,” jelasnya.

Shamala menambah tempoh liga tersebut bergantung kepada bilangan pasukan yang menyertai liga tersebut dan ia biasanya berlangsung dalam tempoh lima minggu.

Bagaimanapun beliau memberitahu tumpuan utama tahun depan ialah persediaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Selain itu beliau menambah pasukan negara akan menjadi tuan rumah Pusingan 2HWL 2017 dan peluang itu perlu dimanfaatkan untuk melangkah ke Pusingan 3. –Bernama

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

One thought on “Skuad Hoki Wanita Sasar Empat Terbaik Asia

Leave a Reply