Skuad Hoki diundi bersama Belanda , Jerman dan Pakistan dalam Piala Dunia 2018

Skuad hoki lelaki negara yang bakal beraksi di kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada Disember ini mengalami tugas getir apabila diundi satu kumpulan dengan dua gergasi hoki dunia, Belanda dan Jerman.

Belanda yang merupakan pasukan no 4 dunia baru sahaja meraih Kejohanan Eropah 2017 dan juga merupakan naib juara Piala Dunia edisi 2014.
Bagi pasukan Jerman pula, kejayaan meraih gangsa pada SUkan Olimpik serta meraih tempat keempat pada edisi 2014 membuktikan kekuatan mereka.

Satu lagi pasukan yang berada dalam satu Kumpulan D ialah musuh tradisi Asia iaitu Pakistan.
Aksi barisan skuad bimbingan Stephen Van Huizen akan bermula pada 1 Disember bertemu Belanda diikuti Pakistan (5 Disember) dan Jerman (9 Disember ) di Stadium Kalinga.

Kumpulan A menyaksikan pemenang tempat ketiga, Argentina akan berentap dengan New Zealand, Sepanyol dan Perancis, manakala juara bertahan, Australia, England, Ireland dan China diundi berada dalam Kumpulan B.

Kumpulan C pula mempertemukan Belgium, India, Kanada dan Afrika Selatan.

Menyedari tugas berat dipikul Van Huizen, pengendali negara itu sedang berusaha mempersiapkan pasukan dengan menyertai beberapa kejohanan seperti dua aksi persahabatan menentang Argentina dan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bermula Sabtu ini.

Dua aksi persahabatan menentang Argentina itu menyaksikan Malaysian Tigers tewas tipis 2-3 pada siri pertama kelmarin sebelum menang 3-0 hasil jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim, Muhammad Firhan Ashari dan Mohd. Fitri Saari semalam.

Van Huizen yang mengumumkan barisan 18 terbaik menggalas cabaran pada PSAS semalam akan menghadapi dua kejohanan penting sebelum bermula Piala Dunia 2018.

Dua kejohanan itu ialah Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bulan depan serta Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula Ogos depan.

Sumber :-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.