LIGAKAMPUNG

Sukan Oh Sukan

Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Skuad futsal negara hadapi pasukan ranking lebih tinggi di Songkhla

KUANTAN, 13 Jan — Skuad futsal kebangsaan turun sebagai pasukan berstatus ‘underdog’ pada Kejuaraan Futsal Antarabangsa 2020 di Songkhla, Thailand bermula 2 hingga 8 Feb depan, dengan tumpuan lebih kepada pendedahan untuk menimba pengalaman daripada pasukan yang berada pada ranking lebih baik.

Ketua jurulatih futsal lelaki negara Chiew Chun Yong berkata pasukan negara dijemput menyertai kejohanan itu, ekoran prestasi dan ranking yang semakin baik, namun perlu berhadapan dengan pasukan lain yang mempunyai ranking lebih tinggi.

“Sebagai persediaan kita sedang melakukan sedikit pertukaran taktikal dan strategi, bagi memperkuatkan pasukan selain membawa masuk tiga muka baru,” katanya ditemui selepas Perasmian Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap Satu, di Indera Mahkota di sini hari ini.

Perasmian kursus tersebut disempurnakan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fadh Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Chun Yong berkata antara muka baru yang dijangka memperkuatkan barisan skuad kebangsaan itu adalah dari Terengganu, Kelantan dan Lembah Klang yang sedang dalam proses pemilihan.

“Kita akan lihat sama ada mereka mampu menyesuaikan diri dan mencapai prestasi yang kita tetapkan, sebelum diserap untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Latihan berpusat diadakan selama lapan hari bermula 23 Jan ini, sebelum senarai akhir 14 pemain dimuktamadkan untuk mereka berlepas ke Songkhla pada 31 Jan ini,” katanya.

Kejuaraan Futsal Antarabangsa 2020 akan disertai enam pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Malaysia, Iraq, Kuwait, Qatar dan Turkmenistan yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu tiga pasukan setiap kumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan pemenang akan ke final, sementara pasukan yang tewas di separuh akhir akan beraksi pada penentuan tempat ketiga/keempat.

Thailand menganjurkan kejohanan jemputan ini sebagai persiapan mereka bersama Kuwait dan Turkmenistan yang akan beraksi pada pusingan akhir Kejuaraan Futsal AFC 2020 di Ashgabat, Turkmenistan, yang akan berlangsung selama 12 hari bermula 26 Feb depan.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)