Senarai 23 Pemain ke Piala AFF Suzuki diumumkan

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (gambar kecil) mengesahkan tiga pemain telah digugurkan daripada senarai pasukan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 iaitu Nor Azam Abdul Azih, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Azzizan Nordin.

Berdasarkan senarai akhir 23 pemain yang diumumkan semalam, hanya lapan pemain memiliki pengalaman mewa­kili negara pada kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara edisi 2016 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya terkandas pada peringkat kumpulan.

Barisan pemain tersebut ialah Ahmad Hazwan Bakri, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan dua penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy serta Khairul Fahmi Che Mat.

Terdahulu, senarai pemain tersebut dikeluarkan selepas menyaksikan skuad negara mudah menewaskan Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa dengan keputusan 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Pada perlawanan yang dianggap sebagai aksi ‘pemanas badan’ sebelum Piala AFF Suzuki membuka tirai Khamis ini, skuad negara berjaya mendapatkan gol menerusi ledakan Zaquan pada babak pertama, sebelum pemain muda, Safawi Rasid serta pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan bergaya pada penghujung perlawanan.

Mengulas mengenai aksi tersebut, bekas pengendali pasukan Kedah itu mengakui berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya tetapi percaya masih banyak ruang perlu diperbaiki.

“Pujian buat barisan pemain kerana dapat meraih kemenangan moral dengan menewaskan Maldives malam ini (kelmarin). Saya anggap ini bukan perlawanan yang mudah kerana pasukan lawan cukup berkualiti khususnya ketika bertahan.

“Namun, pemain tetap dapat mencari ruang dan peluang untuk menjaringkan gol. Cuma, masih ada beberapa kelemahan yang jelas seperti kurang fokus serta cepat hilang bola ketika berada dalam tekanan.

“Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati kerana pemain cukup komited untuk memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Kempen Piala AFF Suzuki dijadualkan bermula Khamis ini apabila skuad negara yang kini menduduki ranking ke-169 dunia akan menentang Kemboja di Stadium Nasional, Phnom Penh.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Laos (12 November), Vietnam (16 November) sebelum mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.

Sebagai rekod, Malaysia kini dalam misi untuk menamatkan kemarau selepas kali terakhir menjuarai Piala AFF Suzuki pada edisi 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.

Sumber :-Kosmo

Ligakampung.com mengucapkan tahniah ke atas kemenangan skuad kebangsaan ke atas Maldives. Kami tak dapat menulis artikel kerana masing-masing ada komitmen pada malam kejadian. Nampak sudah ada keserasian antara para pemain. Sudah pasti impian untuk menjuarai Piala AFF Suzuki terletak di bahu jurulatih dan para pemain. Semoga mampu merealisasikan impian itu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Archives