Satu litar lumba setiap negeri

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sebuah litar lumba akan dibina di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan permotoran untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KBS berhasrat untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini.

Sukan permotoran adalah antara sukan yang popular di negara ini, lihat sahaja jumlah penonton yang meningkat setiap tahun setiap kali kita menganjurkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Oleh itu KBS komited dalam membangunkan sukan permotoran tanah air,” katanya ketika berucap merasmikan Litar Lumba Tangkak dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 di Tangkak semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Ismail Mohamed.

Khairy berkata, kerajaan telah membina litar-litar bagi menyokong dan menaikkan industri sukan permotoran negara dan yang terbaharu, kerajaan akan membina Litar Lumba Sukan Bermotor Negeri Pahang di Jengka pada tahun ini.

Beliau berkata, litar sepanjang 2.4 kilometer bernilai RM40 juta itu mampu menampung kapasiti penonton seramai 2,000 orang.

Katanya, pembinaan litar-litar lumba di seluruh negara diharap mampu menambah bilangan sirkit perlumbaan seperti Kejuaraan Cub Prix yang merupakan pemangkin kepada perkembangan sukan permotoran negara.

Tambahnya, kerajaan turut komited dalam menyediakan prasarana dan kemudahan sukan bermotor kepada rakyat Malaysia dan dalam tempoh 2014 sehingga kini, KBS telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi program pembangunan sukan permotoran.

“KBS turut melaksana Program Pembangunan Sukan Bermotor Negara dalam usaha mencungkil bakat-bakat terpendam antaranya ialah pelaksanaan Klinik Cub Prix KBS di 22 buah lokasi seluruh negara, penganjuran KBS Cub Prix Mini Bike Championship sebanyak lima pusingan dan Kejuaraan Malaysia Cub Prix Petronas AAM 2018 di beberapa lokasi terpilih,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.