Safiq kembali sebagai Ketua Pasukan Kebangsaan

Pemain dan ketua pasukan JDT, Safiq Rahim sekali lagi diberi peranan selaku ketua pasukan bagi pasukan kebangsaan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Menurut ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada pemilihan Safiq adalah sesuai kerana beliau adalah wakil terbaik bagi menghubungkan antara pemain dan jurulatih dalam merencanakan strategi.

“Sebelum ini dia pernah menjadi kapten dan ini bukan kali pertama, …bagi saya dia boleh bermain dengan baik dan mempunyai banyak pengalaman untuk menggalas tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Sementara itu, pemain tengah JDT itu tekad akan menampilkan prestasi terbaik pada aksi pertamanya bersama skuad Harimau Malaya, sejak pengumumannya untuk bersara daripada skuad berkenaan pada Julai tahun lalu.

 

Sambil menyifatkan tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah, Safiq berkata beliau dan rakan sepasukan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik bagi memperoleh keputusan yang diingini. “Perlawanan itu sudah semestinya sukar. Kita mungkin berwajah baharu dan berdepan cabaran baharu, tetapi sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik. “Setiap perlawanan ada tekanan. Saya dan rakan-rakan pernah berdepan situasi begitu…tetapi kita ambil yang positif sahaja…kita bermain di tempat sendiri yang beri kita lebih motivasi,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic berkata, ketiadaan pemain tengah Mohammed Ghaddar tidak menjejaskan rentak permainan pasukannya. “Itu keputusan Ghaddar sendiri untuk tidak mahu beraksi…namun saya tidak berapa kisah. “Kami mempunyai beberapa pemain lain yang boleh menggantikan beliau,” katanya sambil berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum selepas menewaskan Hong Kong 2-0 pada 28 Mac lalu untuk mendahului Kumpulan B. Beliau mengakui menentang Malaysia yang beraksi di gelanggang sendiri, bukan sesuatu yang mudah, namun anak buahnya sudah bersedia berdepan cabaran berkenaan.
– BERNAMA

Seperti yang dijangkakan. Apapun diharap Safiq dapat mengembalikan keyakinan penyokong tempatan yang sebelum ini kecewa atas pengumuman PERSARAAN beliau dan rakan-rakan sebelum ini. Diharap ianya mampu memberikan impak positif dalam mengembalikan kekuatan pasukan negara di kalangan negara Asia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.