Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Renang Masters diabaikan?

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Perenang kategori Masters Cindy Ong berpendapat sukan renang Masters tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan dan bagai ‘diabaikan’ di negara ini.

Cindy yang merupakan bekas perenang negara berharap kerajaan, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat melihat renang Masters sebagai bidang sukan yang dapat membanggakan rakyat Malaysia.

“Saya mahu melihat renang Masters mendapat lebih perhatian kerana ia merupakan sukan yang sangat nyata dan besar (potensinya), malahan ia lebih besar daripada renang amatur. Pasarannya sangat luas.

Tetapi saya berasakan ia belum diterokai sepenuhnya dan Malaysia benar-benar baharu dalam sukan ini dan kita juga tidak mempunyai wakil dalam renang Masters.

“Saya adalah satu-satunya wakil ke Masters Dunia pada tahun 2017,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan pakaian renang jenama, Speedo di sini hari ini.

Perenang berusia 36 tahun itu juga berharap dengan sokongan kerajaan, lebih banyak perenang Masters dapat dikenal pasti dan dilatih untuk memenangi pingat di peringkat dunia.

Wanita kelahiran Ipoh itu telah memenangi lima pingat emas dan dua perak di Kejohanan Masters Dunia Gwangju tahun lalu dan memenangi tujuh pingat emas dan satu perak di Masters Tahun Baru Tokyo pada Januari tahun ini.

“Hingga tahun lalu, Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas dalam kejohanan renang peringkat dunia, bukan hanya amatur tetapi juga Masters,” katanya.

Mengenai rancangan masa depan, Cindy meletakkan matlamat untuk mencipta rekod dunia Masters yang baharu dan akan berganding dengan Vladimir Morozov, perenang dari Rusia di Masters Dunia 2022.

Renang Masters merupakan kategori renang khas dalam kejohanan kompetitif untuk perenang yang berumur 25 tahun ke atas dan mereka yang mewakili kelab, boleh berganding dengan perenang dari mana-mana negara untuk acara renang berganti-ganti.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)