Piala AFF 2018 : Skuad Malaysia layak ke akhir, hampir tersingkir penalti minit akhir

Perlawanan separuh akhir Piala AFF 2018 yang memberikan kelegaan kepada para penyokong bola sepak tempatan. Sudah pasti penonton merasai debaran dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2018 antara pasukan Malaysia menentang Thailand yang berlangsung di Bangkok.
Ketika pasukan negara terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan pertama, skuad Thailand memberi amaran bahawa skuad mereka akan mengempur habis-habisan. Malahan penjaga gol juga dengan angkuh mengatakan bahawa skuad negara akan pulang dengan mimpi ngeri.
Perlawanan ini berlangsung hangat. Pemain pertahanan veteran negara, Aidil Zafuan pada minit ke 17 terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan pemain muda Irfan Zakaria.
Belum sempat mendapat rentak, Irfan Zakaria tersentuh bola yang hendak menuju luar gawang menjadikan Thailand mendapat gol pertama pada minit ke 20. Malaysia yang bermain agak perlahan mula mendapatkan rentak.
Hasil sentuhan menarik beberapa pemain Malaysia, Syahmi Safari mendapat ruang lalu melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang menerjah jaring. Gol yang boleh dinobatkan antara gol terbaik kejohanan ini dijaringkan pada minit ke 27 sekaligus menyamakan kedudukan agregat bagi pasukan negara.
Ini juga memberikan kelebihan gol ditempat lawan bagi skuad negara. Pasukan negara mempamerkan aksi mengawal tanpa melakukan gerakan yang terlalu merbahaya bagi memastikan pasukan Thailand tidak mudah untuk mendapatkan ruang menjaringkan gol.

Masuk separuh masa kedua, penjaring terbanyak skuad negara Norshahrul Idlan Talaha mendapat peluang pada minit ke 47 apabila mempunyai ruang melakukan rembatan ke pintu gol. Namun rembatan beliau tersasar melepasi palang.
Sekali lagi kesilapan Irfan Zakaria apabila melakukan kekasaran mengundang padah. Sepakan percuma berhadapan kotak penalti negara berjaya dimanfaatkan oleh skuad Thailand. Pemain tinggi Pansa Hemviboon berjaya menanduk masuk selepas percubaan kedua pada minit ke 64 sekaligus memberikan kelebihan kepada skuad tuan rumah.
Pada minit ke 71 melalui satu hantaran lintang Syameer Kutty, Norshahrul mendapat ruang untuk melakukan rembatan. Kali ini beliau tidak mensia-siakan peluang dengan satu rembatan ke penjuru kiri gawang Thailand sekaligus mendapatkan gol kedua.
Gol kedua ini memberikan kelebihan kepada skuad Malaysia yang mempunyai kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

Ketika perlawanan hampir menuju ke wisel penamat, satu serangan Thailand telah menyebabkan Syahmi Safawi melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Ketika bersaing dengan pemain lawan, beliau telah mengangkat tangannya terlalu tinggi.
Ini menyebabkan beliau dikenakan kad merah dan pasukan Thailand diberikan sepakan penalti disaat terakhir. Penjaring terbanyak kejohanan Adisak Kraisom melakukan kesilapan yang mungkin tidak mahu diingatinya apabila bola sepakannya melambung tinggi melepasi palang.
Sepakan itu juga merupakan tendangan terakhir sebelum wisel penamat ditiupkan oleh pengadil. Ini membawa skuad negara ke perlawanan akhir menentang samada pasukan Vietnam atau Filipina.

Tahniah skuad Malaysia. Tetapi belum cukup setakat itu. Perlawanan akhir perlu ditempohi bagi menjulang Piala AFF 2018. Selamat berjaya semua.
Perlawanan akhir nanti Tan Cheng Hoe pasti perlu memikirkan strategi terkini selepas ketiadaan Aidil dan juga Syahmi Safari. Mungkin juga ada pertukaran taktikal boleh dilakukan.
Pada pendapat kami di Ligakampung.com mungkin Adam Nor Azlin boleh digunakan bagi menggantikan Syahmi Safari dan Irfan dikekalkan. Pemain-pemain lain mungkin boleh dikekalkan.

1 thought on “Piala AFF 2018 : Skuad Malaysia layak ke akhir, hampir tersingkir penalti minit akhir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Archives