Petinju Perlu ke Peringkat Lebih tinggi – PTM

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Sudah tiba masa untuk petinju negara keluar dari tanggapan ‘jaguh kampung’ dan membuktikan kemampuan mereka di peringkat lebih tinggi seperti di pentas Sukan Asia, Sukan Komanwel dan tidak mustahil ke Olimpik, kata Timbalan Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM) Mohd Iruan Zulkifli.

Malah, beliau berkata ketetapan yang dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar menghantar atlet yang benar-benar mampu menyumbang pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam, disahut sebagai cabaran untuk PTM mempersiapkan barisan petinju terbaik ke temasya itu tahun depan.

Menurut Mohd Iruan, PTM sedang berusaha membawa jurulatih asing dan memindahkan pusat latihan ke Nilai, Negeri Sembilan yang dilengkapi kemudahan canggih dan moden demi mempersiapkan skuad tinju yang lebih mantap.

“MOM membuat penetapan, hanya atlet yang dapat menyumbang emas sahaja dihantar ke Hanoi. Jadi, atlet tinju kena ambil satu iktibar untuk memberikan prestasi terbaik. Kalau mereka rasa hanya hendak jadi jaguh kampung, ia tidak bermakna.

“Sekarang, mereka kena berlatih bersungguh-sungguh demi menjaga maruah negara, mereka mesti menang emas di Hanoi. PTM dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga lebih tegas dari segi penyusunan persediaan atlet dan kontrak,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak dan perjumpaan bersama atlet serta jurulatih di MSN Keramat, hari ini.

Enam petinju diberikan kontrak di bawah Program Podium manakala lima lagi atlet menandatangani kontrak di bawah program pelapis, berkuat kuasa 1 April hingga 31 Dis ini.

Petinju yang diletakkan di bawah Program Podium adalah Mohd Fuad Mohd Redzuan bagi kategori 52kg, Muhammad Rasdenal Haikal Fadzli (49kg), Mohd Akram Rasit (60kg), Halim Izani Suliman (64kg), Mohd Aswan Che Azmi (69kg), dan Khirakyazlan Azmi (81kg).

Dalam pada itu, Mohd Iruan menegaskan mana-mana petinju di bawah kontrak yang tidak berdisiplin serta gagal mempamerkan prestasi konsisten dan komitmen tinggi, berisiko untuk digugurkan dan digantikan dengan petinju lebih baik dari persatuan negeri.

Kejohanan Piala Menteri Besar Perak yang dijangka berlangsung pada Oktober ini, bakal menjadi ujian pertama buat petinju negara selepas ketiadaan aksi kompetitif berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai pelantikan jurulatih, Mohd Iruan berkata PTM dan MSN sedang memilih calon terbaik selepas menyenarai pendek empat calon daripada tiga negara iaitu Kazakhstan, Uzbekistan dan Cuba.

“Mungkin dalam pertengahan Ogos kita dapat menyelesaikan pemilihan, jadi jurulatih itu dapat memulakan tugas pada September. Kita tidak boleh melewatkan pemilihan kerana atlet perlu memulakan persediaan,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.