Perenang negara, Heidi Gan bersedia menghadapi Sukan SEA 2017

JAGUH renang terbuka negara, Heidi Gan tidak memandang mudah barisan pencabarnya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017).

Walaupun dia pernah menggenggam gelaran pada kejohanan Terbuka Asia, Mei lalu, perenang yang berpangkalan di Perth, Australia itu tetap merendah diri dan tidak mahu mengambil mudah cabaran daripada pesaing-pesaing di rantau Asia Tenggara terutamanya dari Thailand.

| Facebook Heidi Gan |

Perenang yang mengungguli acara 10 kilometer (km) pada Kejohanan Asia di Tasik Putrajaya, Mei lalu mengakui sukar untuk membayangkan saingan yang bakal dihadapinya pada KL2017 nanti.

Bagaimanapun, perenang berusia 28 tahun optimis mampu merangkul pingat emas ketiganya pada temasya sukan dwitahunan itu berdasarkan pengalamannya menawan tasik Putrajaya yang juga merupakan venue bagi acara renang terbuka pada KL2017.

“Berdasarkan keputusan pada kejohanan Terbuka Asia yang lalu, saya optimis dengan sasaran emas. Peluang saya terbuka luas.

“Begitupun, saya tidak mahu berasa terlalu yakin walaupun sudah biasa dengan venue bagi acara tersebut. Buat masa ini saya masih lagi memperbaiki gaya rena­ngan bersama jurulatih di Perth dan hanya akan kembali ke ibu negara empat hari sebelum acara saya bermula,” kata Heidi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Acara renang terbuka akan bermula pada 18 Ogos ini.

Sebagai rekod, Heidi meraih pingat emas bagi acara 5km dan 10km ketika acara ini mula dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Begitupun, ia tidak dipertandingkan pada dua edisi berikutnya iaitu di Myanmar pada 2013 dan Singapura (2015).

Pada edisi kali ini, acara 5km tidak dipertandingkan dan Heidi akan tampil mempertahankan emas bagi acara 10km.

Sebagai persediaan untuk mempertahankan emas Sukan SEA, Heidi sudah tidak sabar turun ke gelanggang, sekali gus berazam untuk menghadiahkan keceriaan kepada para penyokong tempatan.

“Saya sudah bersedia sepenuh­nya untuk menghadapi saingan pada KL2017 walaupun berdepan dengan beberapa masalah kecederaan sebelum ini.

“Apa pun ia tidak mengganggu persiapan saya,” ujar Heidi lagi yang pernah beraksi dalam dua Sukan Olimpik iaitu di London pada 2012 dan Rio de Janeiro, Brazil (2016).

Artikel Penuh: Kosmo

 

zool

Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan.
Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.

http://ligakampung.com/blog

2 thoughts on “Perenang negara, Heidi Gan bersedia menghadapi Sukan SEA 2017

Leave a Reply