LIGAKAMPUNG

Sukan Oh Sukan

Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

PENJELASAN ISU PENGADIL PERLAWANAN LIGA SUPER 2019, PERAK LWN KEDAH

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin memberi penjelasan berhubung isu membabitkan pengadil ketika perlawanan Liga Super 2019, Perak bertemu Kedah di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Untuk makluman semua, pelantikan Pegawai Keempat (P4) tempatan atau dari negeri yang sama dengan pasukan tuan rumah bagi perlawanan liga dan peringkat kumpulan bagi pertandingan piala sudah lama dipraktikkan sejak dari tahun 1980-an tanpa sebarang pertikaian dan telah mendapat persetujuan semua pasukan negeri bagi memberi peluang kepada pengawai tempatan mereka untuk menjadi P4.

Sementara bagi perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final, P4 dilantik dari kalangan pegawai berkecuali. Malah dalam kes-kes tertentu pada pendapat Jawatankuasa Pengadil FAM, P4 untuk perlawanan liga boleh dilantik dari kalangan pegawai berkecuali.

Untuk itu, Prosedur Pengendalian Standard (SOP) yang sentiasa dipraktikkan di Liga Malaysia jika Pengadil mengalami kecederaan, maka Pembantu Pengadil 1 (AR1) akan mengambil alih tugas selaku Pengadil manakala kekosongan ditinggalkan AR1 itu akan diisi oleh P4.

Dalam kes di Ipoh malam tadi, selepas Pengadil, Hamdan Awang mengalami kecederaan semasa perlawanan berlangsung, AR1 iaitu Mohd Shahreen Omar mengambil alih tugas selaku Pengadil manakala P4 iaitu Abdul Halim Mohd Ramlan masuk untuk menjadi AR1.

Namun ia dibantah pasukan Kedah kerana Abdul Halim merupakan pegawai tempatan iaitu berasal dari Perak.

Jika dilihat, kecederaan membabitkan pengadil ini merupakan kes terpencil yang mana ia jarang-jarang berlaku. Malah dalam perlawanan peringkat tertinggi juga, insiden kecederaan pengadil ini turut boleh berlaku.

Justeru ia tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa pengadil yang dipilih FAM ini tidak cergas kerana kesemua mereka yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier ini perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan.

Kecederaan yang berlaku ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor lain dan sudah tentu insiden seperti ini sememangnya tidak diingini mana-mana pihak.

Sebagai perbandingan, jika seseorang pemain itu mengalami kecederaan hamstring atau kekejangan otot walaupun beliau baru beraksi selama 10 minit, adakah ia bermakna bahawa pemain berkenaan yang merupakan seorang profesional tidak cukup cergas?

Jadi ingin ditegaskan di sini bahawa pengadil-pengadil tempatan yang dipilih FAM untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier cukup cergas dan adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa pengadil tempatan kita tidak cergas.

Insiden seperti ini sebenarnya jarang berlaku pada saingan Liga Super dan kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 2013.

Bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2018, kecederaan pengadil turut berlaku pada aksi final kedua-dua saingan tersebut tetapi tiada isu besar kerana P4 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan adalah pegawai berkecuali memandangkan ia merupakan aksi final.

Berkenaan SOP yang dilaksanakan di Liga Malaysia pula, contoh-contoh lain yang boleh dilihat pada perlawanan liga di luar negara turut menyaksikan bahawa SOP masing-masing adalah berbeza apabila berlakunya kecederaan kepada pengadil perlawanan.

Berikut adalah pautan laporan berita beberapa insiden berkenaan untuk dibuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Ipoh, malam tadi.

https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-5458145/Tottenham-for…

https://www.bbc.com/sport/football/34082210

https://www.skysports.com/football/news/11688/11144375/fan-becomes-fourt…

Ramai yang mempersoalkan mengenai tahap kecergasan pengadil dan SOP yang dilakukan oleh FAM, namun jika dilihat kepada laporan-laporan berita di atas, SOP di negara-negara lain adalah berbeza dan sudah tentu ia juga memiliki kelemahan serta tidak sempurna seratus peratus.

Di sini dalam keadaan kecemasan seperti ini, kredibiliti atau profesionalisme individu bernama pengadil ini tidak perlu dipertikaikan hanya kerana beliau merupakan pengadil tempatan atau berasal dari negeri sama dengan pasukan tuan rumah.

Malah dalam Perlawanan Antarabangsa “A” juga, kita boleh lihat pengadil FIFA dari pasukan tuan rumah mampu mengadili dan mengawal permainan dengan baik kerana sememangnya pengadil adalah seorang individu yang telah pun dididik untuk sentiasa bersikap profesional dan adil ketika menjalankan tugasannya.

Apa pun, perkara ini akan dibawa untuk diperbincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM yang akan datang pada 18 Februari ini untuk tindakan selanjutnya.

ACP (B) Md Dali Wahid

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM

KREDIT FOTO: MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE (MFL)

Video Pengadil Keluar Hadapi Hamstring

Sumber :- Laman Web FAM
Ligakampung.com rasa SOP pihak FAM memang tepat sebab memang perkara seperti ini jarang-jarang berlaku cuma yang menjadi perbalahan bilamana Pegawai pengganti merupakan orang tempatan. Mungkin ada kesangsian dari pihak lawan terhadap pemilihan tersebut.
Apapun mungkin mereka telahpun berada dalam era professionalisme jadi tak perlu untuk kita mempertikaikan.
Dari segi kecergasan pula ianya tak boleh nak dinilaikan. Sedangkan pemain bola sepak professional yang usia baharu 20-an pun mengalami masalah kecergasan apatah lagi pengadil.

One thought on “PENJELASAN ISU PENGADIL PERLAWANAN LIGA SUPER 2019, PERAK LWN KEDAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.