Pemain takraw wajib tutup aurat

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mewajibkan semua pemain lelaki dan wanita memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam semua kejohanan mulai April depan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan semua pemain mengenakan pakaian menutup aurat seperti memakai ‘tight’ (lelaki) dan tudung (wanita) ketika menyertai mana-mana kejohanan sebelum ini.

Justeru, Ahmad berkata PSM bercadang meminda peraturan berkaitan bagi mewajibkan semua pemain memakai pakaian menutup aurat ketika menyertai mana-mana kejohanan bermula dari bangku sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Ini bermakna semua pemain wajib memakai pakaian menutup aurat mulai tahun depan, misalnya pemain lelaki akan diwajib memakai ‘tight’ manakala wanita pula wajib memakai tudung.

“Berikutan itu, PSM memutuskan semua kejohanan sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan akan dimulakan selepas April depan bagi memberi masa kepada mereka untuk membiasakan diri dengan peraturan baharu berkenaan.

“Tindakan berkenaan juga membolehkan semua pemain membuat persiapan lebih rapi dan membina semula kekuatan diri dalam tempoh tiga bulan pertama 2019 bagi menghadapi kejohanan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada wartawan NSTP di Cyberjaya, hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, PSM berharap semua 12 pemain yang membantu Malaysia meraih pingat emas dan perak di Sukan Asia 2018, dikekalkan dalam Program Podium biarpun acara berkenaan tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ahmad menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu menghargai jasa, penat lelah dan pengorbanan mereka yang berjuang bermati-matian demi mengharumkan nama Malaysia.

“Kita kena ingat bahawa sasaran awal ditetapkan kepada pemain di bawah Program Podium hanyalah menang pingat tanpa mengira warna.

Namun, kita bukan hanya mencapai sasaran menang pingat malah berjaya meraih satu emas dan perak di Sukan Asia 2018.

“Jadi, adakah ini (digugurkan daripada Program Podium) adalah ‘anugerah dan hadiah’ terbaik yang boleh diberikan KBS dan MSN kepada pemain yang berjaya mengharumkan nama negara di Sukan Asia 2018.

“Adakah ini cara terbaik untuk KBS dan MSN memberi motivasi kepada mereka untuk mempamerkan prestasi lebih cemerlang di Sukan SEA Manila 2019 dan Sukan Asia Hangzhou 2022 nanti,” soalnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata beliau bimbang tindakan MSN dan KBS menggugurkan 12 pemain berkenaan akan menjejaskan moral mereka ketika mewakili negara.

“Saya bimbang jika tindakan KSB dan MSN akan menyebabkan mereka hilang semangat untuk mewakili negara sehingga menyebabkan daripada menang satu emas dan perak di Sukan Asia 2018, kita mungkin hanya dapat gangsa atau tiada pingat langsung di Hangzhou, empat tahun lagi,” katanya.

HMetro

Patutlah semalam kami lihat di STL, Syahir Rosdi pakai tight. Rupa-rupanya tak lama lagi akan ada undang-undang bagi mewajibkan semua atlet menutup aurat rupanya.
Kami tak pasti samada ianya bagus atau tidak . Kita tengok macammana isu ni berbangkit nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.