Pemain hoki perlu beraksi di luar Malaysia – Sukri

Kapten pasukan hoki lelaki kebangsaan, Sukri Mutalib, percaya sekiranya lebih ramai pemain beraksi dalam liga luar negara, terutama di Eropah, ia mampu meningkatkan prestasi pasukan Malaysia.

Sukri sendiri, yang pernah beraksi bersama pasukan Southern Hotshots dalam Liga Australia, berkata apabila pemain Malaysia beraksi dalam kejohanan kompetitif bersama-sama pemain terkemuka dunia, ia dapat merapatkan jurang di antara pemain negara dan Eropah.

Pemain berusia 33 tahun itu turut percaya bahawa pengalaman sedemikian dapat mengubah persepsi atau rasa kurang keyakinan diri pemain apabila bertemu pasukan lawan yang dibarisi oleh pemain yang bertubuh besar kerana sudah biasa berlatih dengan pemain Eropah.

“Kalau dilihat pemain bola sepak seperti Lionel Messi (Argentina) di Barcelona juga bertubuh kecil tetapi boleh bermain dengan pemain yang bertubuh besar kerana dia dah berlatih dengan orang Eropah sejak kecil. Begitu juga dengan pemain seperti David Silva dan Xavi (Sepanyol), mereka dah membesar dalam situasi itu.

“Jika pemain negara berada dalam persekitaran itu juga, mungkin dapat menyerap corak permainan daripada Eropah yang begitu fizikal serta dapat mengubah mentaliti pemain dan cepat matang dalam permainan,” katanya selepas menghadiri perbincangan hampir sejam dalam sesi penilaian empat tahun (2016-2019) skuad kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya apa yang menjadi halangan pemain negara untuk beraksi di liga luar negara, Sukri, yang membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan pada 2003, berkata kewajipan menghadiri latihan pusat bagi tempoh yang lama memaksa pemain berkenaan melupakan tawaran daripada pasukan luar negara selain komitmen menamatkan pengajian masing-masing.

“Setahu saya, kebanyakan pemain yang keluar, merupakan pemain bukan daripada pasukan kebangsaan yang mendapat peluang bermain di Itali, Scotland, Australia dan negara lain,” katanya.

Sesi penilaian itu bertujuan untuk bedah siasat punca kegagalan pasukan lelaki dan wanita kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang untuk tempoh empat tahun akan datang yang meliputi kelayakan dan kejohanan Piala Dunia 2022 (wanita) dan 2023 (lelaki) serta kelayakan Olimpik 2024.

Sesi itu dianggotai oleh 16 ahli panel, termasuk pengurusan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) diketuai presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bekas pemain, wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media.

Seramai 10 pemain pasukan lelaki dan lima pemain pasukan wanita menjalani sesi perbincangan tertutup secara individu itu bersama ahli panel hari ini manakala sesi pertemuan dengan pihak jurulatih dijangka diadakan pada waktu lain.

Sementara itu, kapten pasukan wanita, Siti Noor Amarina Ruhani, yang menjadi individu pertama hadir ke perbincangan dua hala itu berkata sesi itu lebih menjurus kepada cara-cara memantapkan pasukan pada masa akan datang. 

“Saya sebagai pemain dapat peluang untuk bercakap dan beri pendapat mengenai kekurangan pasukan, apa yang perlu dipertingkatkan oleh KHM dan MSN, pendedahan yang pasukan perlu dapat, peningkatan secara individu serta pasukan. Ia perbincangan yang sangat bagus. 

“Ini pertama kali saya mendapat peluang untuk sesi begini, hampir semua perkara saya dah luahkan untuk meningkatkan prestasi pasukan bagi empat tahun akan datang,” katanya. 

Ditanya jika dia akan terus menabur bakti buat skuad kebangsaan, pemain berusia 32 tahun itu berkata dia belum memutuskan perkara itu dan ia bergantung kepada perancangan barisan kejurulatihan baru yang bakal dibentuk nanti.  

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.