post

Pemain badminton bakal kembali berlatih bulan Jun

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pemain badminton negara di bawah program Road to Tokyo (RTT) mungkin kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 1 Jun dan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sesi latihan untuk atlet negara terhenti berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac bagi mengekang penularan COVID-19.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga memutuskan untuk mengundang pemain bebas yang berkemungkinan besar layak ke Olimpik Tokyo berdasarkan ranking semasa dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk berlatih dua kali seminggu di ABM bersama-sama dengan skuad kebangsaan pada pertengahan Julai.

“Demi kepentingan negara dan skuad badminton kebangsaan, saya membuat keputusan untuk mengundang pemain-pemain bebas. Sebaik sahaja pemain ini mengesahkan kelayakan mereka ke Olimpik Tokyo, mereka akan diundang untuk menjalani latihan sepenuh masa di ABM.

“Saya amat berharap pemain ini akan mengambil peluang ini untuk bekerja sebagai satu pasukan Malaysia dan pada masa yang sama, bekerja lebih keras untuk mencapai impian Olimpik. Selepas mesyuarat baru-baru ini dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, BAM telah bergerak secara proaktif membuat persediaan bagi pemain kebangsaan kita kembali ke ABM.

“Sebagai Presiden BAM, saya telah mengambil langkah untuk memastikan BAM dan ABM bersedia untuk dibuka secara berperingkat. ABM menempatkan pemain, jurulatih dan pejabat pentadbiran BAM dan dengan itu semua prosedur operasi standard (SOP) telah dipertingkat dan akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Norza menegaskan langkah berhati-hati tambahan akan dilaksanakan untuk keselamatan semua orang di premis itu.

Antara pemain badminton bebas yang dilihat bakal menempah tiket ke Tokyo ialah pemenang pingat perak pada temasya Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki).

Norza, yang menjangkakan skuad Piala Thomas dan Piala Uber untuk mula menjalani latihan dari 15 Jun, mahu pasukan berkenaan mencatatkan kejayaan pada Piala Thomas dan Uber selepas kedua-dua kejohanan dijadualkan semula ke 3-11 Okt di Aarhus, Denmark disebabkan pandemik COVID-19.

“Berikutan kita mahu pemain terbaik untuk mewakili Malaysia, saya ingin mengundang pemain bebas untuk menyertai pasukan ini dalam kejohanan ini. Pemain bebas yang dipilih akan diundang untuk menjalani latihan di ABM menjelang pertengahan Julai 2020.

“Ini dengan harapan pemain ini akan dapat berlatih bersama-sama dan pada masa yang sama, membina ‘esprit de corps’ sesama mereka. Berikutan BAM mengambil langkah proaktif seumpama itu, saya amat berharap para pemain akan berusaha keras dan pada masa yang sama, membawa kegemilangan kepada negara kita yang tercinta, Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.