Pasukan Bawah 23 Tahun Gagal Layak Ke Piala AFC-B23 : Apa Yang Kita Boleh Pelajari

Mungkin ramai yang dah mengetahui tentang kegagalan skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara untuk melangkah ke pusingan akhir Piala AFC pada tahun hadapan. Boleh dikatakan Malaysia hampir layak ke Bangkok namun dinafikan gol Jiang Sheng pada minit ke 83. Gol tersebut meranapkan impian untuk skuad muda negara bergelar Juara Kumpulan J untuk layak secara automatik.  Harapan untuk layak sebagai naib juara tidak menjadi kenyataan selepas hanya empat pasukan naib juara kumpulan yang diberikan tiket untuk ke pusingan akhir.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang skuad China itu, pasukan negara membuktikan mereka mampu untuk memberikan tentangan pada pasukan negara tembok besar itu. Berhadapan dengan pemain yang mempunyai fizikal yang lebih besar tidak menakutkan barisan pemain negara.

Skuad negara mendahului perlawanan selepas rembatan Syahmi Safari tertampan gol sendiri oleh pemain China, Yang Liyu pada minit 11. Tersentak dengan gol itu, barisan pemain China mengandakan serangan dan satu serangan menarik menghasilkan gol melalui tandukan Zhang Yuning pada minit ke 17.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol. Skuad Malaysia berjaya memecah kebuntuan selepas penjaga gol China terlepas bola ketika sepakan sudut Nik Akif. Bola yang terlepas itu disambut mudah oleh pemain tengah, Daniel Hakim bagi memastikan skuad negara mendahului dengan satu gol. Namun kesilapan pada minit-minit terakhir membuka ruang bagi skuad China mendapat gol sekaligus menafikan peluang skuad bimbingan Ong Kim Swee itu untuk sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala AFC 23 tahun.

[ Ong Kim Swee- Satu Keputusan Perit ]

Secara amnya, Ligakampung.com berpendapat bahawa pasukan ini mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh lagi. Perlu kita ingat, rata-rata para pemain ini juga merupakan anggota yang beraksi dalam Sukan Asia tempohari. Ingatkah bagaimana skuad negara melakar kejutan terhadap Korea Selatan di peringkat kumpulan dan kurang bernasib baik ketika menentang Jepun di pusingan kedua Sukan Asia itu.

Ada juga di antara mereka yang telah mula mengetuk pintu skuad senior. Pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syamer Kutty, Syahmi Safawi adalah pemain yang menjadi tulang belakang ketika skuad negara dalam Piala AFF 2018 tempohari. Sudah pasti akan ada beberapa pemain lain yang juga turut diintai untuk berada dalam kesebelasan skuad senior tidak lama lagi.

Dalam kejohanan ini juga mungkin ada pencari-pencari bakat yang telah melihat aksi beberapa pemain yang menunjukkan kemampuan mereka. Tidak mustahil ada antara mereka yang akan dipancing oleh kelab luar negara. Sekiranya ada yang dipancing, pergilah sertai pasukan luar negara. Ini akan membantu mengembangkan bakat anda berbanding bermain di dalam negara. Kalau kita lihat penyerang, Hadi Fayyadh juga menampakkan kemajuan permainan beliau. Walaupun tidak menghasilkan sebarang gol ataupun bantuan gol (assist) namun dari segi corak pemainan secara fizikal ada perkembangan positif. Mungkin penyertaan beliau di Liga Jepun akan memberikan kesan positif dalam tempoh 2 atau 3 tahun lagi.

Cuma dari segi beberapa posisi perlu diberikan perhatian.  Posisi pertahanan misalnya, walaupun dikawal baik oleh Syamer Kutty dan Dominic Tan namun sebenarnya mereka bukanlah asalnya beraksi di posisi itu.  Syamer Kutty sebenarnya lebih banyak beraksi di bahagian tengah. Memang ia bukanlah masalah besar untuknya beraksi di bahagian pertahanan tengah namun lebih sesuai jika ada pemain yang memang tetap di bahagian tersebut kerana Syamer ini pemain yang agak mobility. Corak beliau yang lebih banyak bergerak akan merugikan pasukan jika tertumpu pada barisan pertahanan.

Dari segi serangan pula, mungkin potensi Faisal Halim perlu dikembangkan. Kemungkinan beliau boleh dijadikan alternative bagi corak serangan pasukan B23 Malaysia pada Sukan SEA tahun ini. Corak permainan pantas dan dribble menarik menunjukkan beliau berpotensi untuk melancarkan serangan berbahaya. Ketenangan ketika menjaringkan gol pada aksi menentang Filipina membuktikan kita mempunyai penyerang yang berbeza skillnya dimana Hadi Fayyadh lebih kepada penyerang yang menggunakan fizikal. Perbezaan ini mungkin membantu jurulatih Ong Kim Swee untuk membuat perhitungan berdasarkan pasukan yang akan ditemui.

Mungkin barisan pemain yang sama ini akan dikumpulkan kembali untuk aksi Sukan SEA di Filipina dan tidak mustahil pingat emas mampu dikutip pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.