Mampukah Tan Cheng Hoe meningkatkan pasukan kebangsaan ?

Lama betul Jamal tak menulis di Ligakampung.com. Ada kerja lain yang perlu diselesaikan. Nak masuk hujung bulan kan. Kerja memang melambak tapi boss minta juga Jamal tulis serba sedikit jadi Jamal cuba yang terbaik.
Minggu ini semua dah tahu yang ketua jurulatih bola sepak kebangsaan yang di ambil dari Portugal, Nelo Vingada telah mengimbarkan bendera putih. Selepas 7 perlawanan tanpa kemenangan, ketua jurulatih yang pernah membawa pasukan kebangsaan Arab Saudi menjadi juara Piala Asia 1996 itu akhirnya mengambil keputusan meletak jawatan serta merta.
Jamal rasa keputusan Vingada itu cukup tepat dan berani. Walaupun masa yang singkat tetapi dengan reputasinya , para penyokong dan pengkritik inginkan keputusan yang positif yang tidak mampu dibawa oleh Vingada.

Sekarang ni, bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe telah mengambil alih tugas tersebut. Mungkin ramai yang sedikti sangsi dengan pengalaman beliau tetapi Tan bukanlah jurulatih biasa. Dia pernah menjadi penolong jurualtih bagi K Rajagobal ketika mengemudi pasukan bola sepak kebangsaan menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010. Sudah pasti ia bukanlah sedikit pengalaman yang dimiliki oleh Tan Cheng Hoe.
Selain itu, kemampuan beliau mengemudi Kedah yang beraksi di Liga Premier Malaysia pada 2014 dan seterusnya menjadi pasukan handalan juga perlu diberikan kredit. Bermula beliau mengambil alih pasukan Kedah, transformasi yang dilakukan menjadikan Kedah juara Liga Premier 2015 dan mampu ke akhir Piala Malaysia ketika itu.
Dengan kemampuan beliau merencanakan para pemain menyaksikan Kedah menduduki tempat ketiga dan menjuarai Piala Malaysia 2016. Pada tahun ini juga ketika memegang jawatan untuk separuh aksi, beliau membantu Kedah menjuarai Piala FA 2017 yang merupakan pencapaian terbaik bagi jurulatih tempatan tahun ini.

Persoalannya mampukah Tan Cheng Hoe meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan? Jamal tak boleh meramalkan masa depan tapi tidak mustahil kiranya Tan Cheng Hoe boleh menggunakan pengalaman beliau sebelum ini. Untuk perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia menentang Lebanon nanti, Jamal harap Tan boleh melakukan eksperimen untuk mencari pemain terbaik. Bagi para pemain senior bolehlah direhatkan sebaliknya cari pemain yang berada di bawah usia 30 tahun. Kalau boleh dapatkan pemain di bawah 25 tahun pun baik.
Untuk memberi pengalaman sebab perlawanan terakhir tu dah tak membawa makna lagi. Cuma sekarang ni Tan perlu mencari barisan kejurulatihan yang terbaik. Tahun depan sasaran adalah pada kejohanan Piala Suzuki pada akhir tahun manakala kelayakan Piala Asia 2023 akan berlaku pada 2019.
Persiapan perlu dilakukan seberapa segera. Mungkin tahun ini telah ada perancangan untuk perlawanan persahabatan kelas A. Cari lawan setara dahulu dan elakkan perlawanan pertunjukan yang tiada makna.
Apa pula pandangan korang semua. Boleh ke Tan Cheng Hoe ni?

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

2 thoughts on “Mampukah Tan Cheng Hoe meningkatkan pasukan kebangsaan ?

Leave a Reply