post

Mampukah skuad negara menang di Vietnam ?

Perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Shah Alam telahpun diketahui keputusannya. Keputusan yang tidak berpihak kepada pasukan Harimau Malaya yang tumbang 1-2 di gelanggang sendiri.

Keputusan yang sedikit sebanyak menyukarkan peluang untuk mara ke akhir. Sungguhpun begitu, bola itu bulat dan tidak mustahil bagi pasukan negara untuk mengejutkan pihak lawan di Hanoi. Namun sudah pasti kesukaran kerana pasukan Vietnam mempunyai kelebihan dari segi lokasi, penyokong dan sebagainya. Apatah lagi, mereka sudah pasti boleh memanipulasikan banyak perkara untuk memberi tekanan kepada skuad negara.
suzuki-cup
Ditambah pula dengan kes penonton Malaysia yang bersifat ‘hooligan’ yang menaikkan kemarahan penyokong mereka. Pasti bukan situasi mudah bagi ‘Ultras Malaya‘ untuk hadir memberikan teriakan di sana.

Pendapat saya, secara realistiknya agak sukar perjalanan untuk ke akhir namun tetap ada peluang. Saya merasakan perlawanan di gelanggang sendiri terdapat kesilapan strategi yang cuba dilaksanakan oleh jurulatih Dollah Salleh. Pemain seperti Hafiz Kamal dan Muslim Ahmad tidak cukup bersedia untuk pertandingan kali ini. Mungkin peluang perlu diberi pada pemain lain yang lebih layak.
Pada pandangan saya yang bukanlah bijak mana pun, perubahan drastik perlu dilakukan. Walaupun berisiko namun mungkin berbaloi. Disini saya menyenaraikan pemain pilihan untuk kesebelasan utama.

Barisan Pilihan Ligakampung.com

4-4-2 Formation

1) Penjaga Gol (Khairul Fahmi) – Walaupun Khairul Fahmi atau Apek melakukan 2 kesilapan penyebab gol ketika melawan Singapura dan Vietnam namun secara amnya, beliau masih merupakan penjaga gol utama negara. Agak sukar untuk memberikan peluang kepada Farizal Marlias mahupun Khairul Azhan pada peringkat sepenting ini.

2) Pertahanan (Mahali, Shukor, Fadhli, Zubir) – Keempat-empat pemain ini menjadi pilihan berbanding pemain pertahanan lain yang dipilih oleh jurulatih. Shukor perlu banyak memberikan arahan dan elakkan terlalu naik ke atas terutama pada separuh masa pertama. Hanya jika terdesak barulah beliau boleh ke atas. Fadhli Sas perlu lebih banyak berkomunikasi dengan Zubir dan memerhatikan kedudukan Shukor. Elakkan melepaskan bola mudah.

Zubir dan Mahali juga perlu sentiasa mengawal pemain sayap dengan baik. Elakkan melepaskan bola di bahagian sayap kerana pasukan vietnam mempunyai pemain yang pantas untuk merobek gawang lawan.
– Agak malang apabila pemain seperti Razman tidak termasuk dalam pemain Malaysia ini. Begitu juga apabila kita kehilangan Aidil Zafuan atas sebab kecergasan. Asrarudin Putra juga merupakan pemain yang tercicir dalam skuad ini dan sedikit pincang di bahagian pertahanan kiri.

3) Tengah ( Indra, Badri Radzi, Gary Stevan Robbat, Badroll Bakhtiar)- Mungkin ada yang terkejut kalau Safiq Rahim yang menjaringkan 3 gol dalam kejohanan ini tiada dalam senarai kesebelasan utama pilihan si Zool. Memang beliau seorang pemain yang baik namun rasanya corak permainan beliau agak emosional pada perlawanan terdahulu. Tiada hantaran kreatif dan mungkin kemasukan Piya dapat merobah corak permainan.

piya

Saya juga merasakan Indra boleh bermain di kesebelasan utama. Mungkin tidak untuk 90 minit namun beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman untuk mengawal perlawanan. Beliau juga boleh menggunakan tendangan percuma sebagai salah satu senjata. Beliau yang telah bermain dengan Piya ketika di Kelantan pasti memudahkan mendapatkan keserasian antara pemain tengah. Oo, ye.. Indra saya letakkan di sayap kiri menggantikan S Kunalan. Walaupun beliau tidak selaju Kunalan namun hantaran beliau lebih berkualiti.
Badroll Bakhtiar pula saya letakkan bagi menggantikan Azamudin Akil di sayap kanan yang nampak seperti hilang punca pada perlawanan pertama yang lalu. Badroll Bakhtiar mempunyai kelebihan berani melakukan tendangan dari luar kotak penalti dan memungkinkan peluang untuk menjaringkan gol.
– Di bahagian tengah juga saya merasakan pemain seperti Ashari Samsudin, Joseph Kalang Tie(cuti kahwin), Wan Zaharulnizam , Shakir Saari, Razidan, Brendan Gan, Junior Estadl perlu mendapat peluang. Gopi yang tidak cergas juga merupakan kerugian bagi skuad negara.

4) Penyerang ( Amri Yahyah, Norshahrul ) – Walaupun Safee Sali bermain baik dan bersungguh-sungguh ketika perlawanan pertama namun kudratnya agak terhad. Nampak kesukaran beliau untuk mengejar bola. Secara peribadi saya merasakan mungkin Amri Yahyah dan Norshahrul boleh bertukar-tukar posisi sebagai penyerang utama. Mungkin jika tiada idea, barulah Safee Sali boleh masuk sebagai supersub.
– Di bahagian penyerang pula saya merasakan Norfarhan, Bobby dan S Chanturu patut mendapat peluang. Ini berdasarkan prestasi mereka yang menjadi penjaring gol utama bagi pasukan masing-masing.

Ini sekadar pendapat sahaja berdasarkan pengamatan. Yang penting adalah pilihan jurulatih negara pada perlawanan hari Khamis ini. Semoga pemain yang dipilih akan memberikan prestasi terbaik dan membuktikan yang mereka mampu untuk menang di Hanoi. Malaysia Boleh!!

Please follow and like us:
error0

5 thoughts on “Mampukah skuad negara menang di Vietnam ?

  1. Melihat prestasi persembahan pasukan negara pada hari Ahad yang lalu, nampaknya macam tipis peluang kita nak menang. .. tapi manalah tahu, semangat pemain dapat berubah dalam sekelip mata. . Untuk menjadikan kita juara. . 😉

  2. Misi mustahil.. kalau dilihat dari perlawanan terdahulu, saat bermulanya Dollah Salleh memegang peranan sebagai jurulatih, maaf, banyak kepincangan, disiplin permainan banyak yang tidak menentu.. Masa lawan Singapore saya berani katakan “luck” kerana Singapore yang banyak mengasak..

    Tapi tetap sokong pasukan negara.. cuma dari segi profesionalisme.. Vietnam pilihan mara ke Final.. hehe..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.