Malaysian Tigress layak kategori A

SKUAD hoki wanita negara mendapat perkhabaran gem­­bira menjelang Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat ‘pusingan U’ dengan menyenaraikan semula mereka dalam kategori A.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi menjelaskan, Malaysian Tigress layak ‘diterbangkan’ untuk kate­gori A selepas penilaian semula dibuat badan induk tersebut yang terdahulu menyenaraikan mereka bagi kategori B, Jumaat lalu.

Perubahan status itu disebabkan semakan semula pencapaian skuad negara yang menghuni ranking No. 22 dunia, sewaktu meraih tempat keempat Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Bandar Donghae, Korea Selatan, Mei lalu.

“Terdapat sedikit kekeliruan mengenai kategori skuad hoki wani­ta ke Sukan Asia 2018. Sebelum ini mereka diletakkan dalam kategori B kerana (dikatakan) menang de­ngan pasukan simpanan Jepun pada ACT 2018 baru-baru ini.

“Kami semak semula dan mendapati enam pemain utama membarisi skuad Jepun yang tewas 2-3 kepada Malaysia pada perlawanan itu. Berdasarkan itu, kami me­ngubah semula (status) mereka ke kategori A.

“Jepun memecahkan kelompok pemain utama kepada dua pasukan. Separuh menyertai ACT 2018 dan bakinya bermain pada Kejohanan Jemputan Tiga Negara di Australia,” katanya.

Azim yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018 berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi perjumpaan bersama Persatuan Mendaki Malaysia di Wisma MOM, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur semalam.

Berita gembira itu ternyata menaikkan semangat Malaysian Tigress apabila bergaya mem­belasah Kazakhstan 8-1 pada aksi ketiga Siri Hoki Terbuka Dunia di Stadium Hoki Sengkang, Si­ngapura malam tadi, sekali gus merekodkan kemenangan bersih setakat ini.

Skuad negara akan meneruskan perlawanan keempat kejohanan peringkat kelayakan awal Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menentang Thailand hari ini.

Sumber :-Kosmo

1 thought on “Malaysian Tigress layak kategori A

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Archives