Liga Super 2017 berakhir : Cerita dan Fakta Menarik Mengenai Liga Super 2017

Apa khabar semua ? Artikel kali ini Jamal pula mengambil alih dari boss. Agak seronok menulis pula dapat menulis selepas sibuk dengan kerja hakiki.
Kali ini boss bagi tajuk mengenai apa perkara menarik pada Liga Super 2017. Seronok juga tajuk ni untuk dikupas sebab memang banyak perkara menarik berlaku pada Liga Super yang baru je tamat semalam.
Antaranya ialah :-

1) JDT kuasai Liga Super bagi empat musim berturut-turut.

Ini merupakan pencapaian terbaik yang pernah dilakukan oleh sesebuah pasukan dalam Liga Super. Ia merupakan dominasi dilakukan hasil perubahan oleh Tengku Mahkota Johor yang melakukan transformasi dalam pasukan bola sepak Johor.
Walaupun sering berhadapan dengan kontroversi namun pasukan dari negeri Selatan ini terus menguasai Liga Super dengan jayanya. Pasukan Juara Piala AFC 2015 itu juga hanya selangkah untuk ke akhir peringkat zon Piala AFC 2017 namun tumpas gara-gara penalti kontroversi pada perlawanan menentang wakil Filipina Ceres Negros.
Perlawanan akhir itu juga turut mengundang padah buat penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang digantung 12 bulan dari beraksi dengan mana-mana pasukan akibat tindakan agressif terhadap pengadil perlawanan tersebut.Jurulatih, Benjamin Mora juga dikenakan denda US$7,000 kerana melakukan kesalahan menyerang secara verbal bagi kakitangan dan pengadil AFC selepas perlawanan tersebut. Satu lagi isu yang menarik apabila Benjamin Mora digantikan dengan jurulatih Portugal, Ulissses MOrais pada Jun 2017.
Sememangnya penguasaan JDT dalam Liga Super tidak dapat disangkal lagi dengan bantuan kewangan yang utuh. Adakah mereka masih lagi akan menjadi jaguh pada tahun 2018 ?

2) Kedah tidak dapat ke Piala AFC 2018


Selaku pemenang Piala FA 2017, Kedah sepatutnya layak secara merit untuk ke Kejohanan Piala AFC 2018. Namun ada ura-ura mengatakan bahawa mereka tidak layak untuk beraksi dalam kejohanan AFC 2018. Ia berikutan lesen kelab tidak dapat dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Isu ini menjadi kontroversi sehingga ramai pihak menyalah FAM dalam isu ini.
Antara isu yang menyebabkan kegagalan pihak Kedah untuk mendapatkan lesen adalah berkenaan isu tunggakan gaji bekas jurulatih David Mitchell.
David Mitchell yang menjadi jurulatih Kedah pada musim 2014 telah membawa kes ke FIFA selepas Kedah gagal membayar wang pampasan sejumlah 100,00 Dollar Amerika (RM427,000) selepas beliau dipecat.

| Kedah Juarai Piala FA 2017 Tumpaskan Pahang |

Isu Mitchell yang juga bekas pemain import Selangor pada musim 1995-1996 juga menyebabkan Kedah tidak beraksi di Piala AFC kerana Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan agar kelab yang menyertai pertandingan mesti mempunyai kestabilan kewangan.
Jamal tak pasti samada isu ini telah diselesaikan atau tidak tapi mungkin kecewa lah kalau Malaysia hanya mempunyai satu wakil dalam Piala AFC 2018 nanti.

3) Penjaring terbanyak milik Mohammed Ghaddar

ghadar

Tidak hairan kalau pemain import menguasai carta jaringan Liga Super tapi yang menariknya bilamana ia dilakukan untuk dua pasukan dalam satu musim.
Mohammed Ghadar yang pada awal musimnya bermain untuk pasukan Kelantan berjaya menjaringkan 18 gol dalam hanya 11 perlawanan. Perpindahan ke JDT pada pertengahan musim menyaksikan pemain kelahiran Lebanon itu menambah 5 gol untuk pasukan baharunya, JDT.
Ia menjadikan keseluruhan jaringannya 23 gol dalam 20 kemunculan beliau. Angka ini menunjukkan bahawa ratio gol bagi Ghadar adalah 1.15 gol bagi setiap perlawanan Liga Super. Ia sekaligus meninggalkan pesaing terdekat, penyerang import dari Pahang Matheus Alves yang berjaya menjaringkan 18 gol.
Bagi pemain tempatan pula, Safiq Rahim dan Baddrol Bakhtiar merupakan penjaring tertinggi dengan 9 jaringan. Mungkin ada kegusaran mengenai pemain penyerang tempatan kerana hanya Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali adalah penyerang tulen tempatan yang berjaya masuk dalam senarai. Itupun sekadar empat jaringan yang berjaya dicetak dalam semusim Liga Super.
Dengan usia mereka yang makin meningkat mungkin sukar untuk mereka menjadi pilihan mewakili pasukan kebangsaan. Mungkin pemain dari Liga Premier, Abdul Malik Mat Ariff dari kelab Kuantan FA boleh menjadi pilihan dan begitu juga pemain PKNP Sharel Fikri.
Cuma diharapkan mereka ini mendapat peluang sebaiknya seandainya mereka dipancing oleh pasukan dari kelab Liga Super pada musim hadapan.

4) Pasukan Kelantan menerima Presiden wanita


Pasukan bola sepak Kelantan merupakan antara pasukan bola sepak yang cukup ramai peminatnya. Kontroversi juga sering melanda kelab yang pernah menguasai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 ini.
Antaranya pada tahun lepas dengan isu penajaan dan kali ini dengan isu perpindahan Mohammad Ghadar serta kegagalan jurulatihnya. Agak bernasib baik apabila pasukan Kelantan berjaya kekal untuk bersaing di Liga Super 2018 selepas menumpaskan pasukan Melaka United pada perlawanan terakhir Liga.
Tapi yang menarik mengenai Kelantan pastinya tentang pelantikan Presiden baharunya pada tahun ini.
Pelantikan Bibi Ramjani Ilias Khan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2018 hingga 2021 pastinya satu kejutan. Beliau mencatat sejarah selaku wanita pertama menduduki kerusi panas KAFA selepas menumpaskan Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dalam Kongres Tahunan KAFA ke 63 pada September lalu.
Beliau yang merupakan pengasas Desa Murni Batik Sdn Bhd pasti mempunyai tugas yang berat untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Kelantan.
Diharapkan pelantikan Presiden ini akan memberikan perubahan terutama berkenaan masalah kewangan yang sering ditimbulkan oleh Presiden sebelum ini.
Jamal juga harap agar selaku usahawan, beliau perlu tahu batas-batasnya selaku Presiden KAFA. Jamal takut nanti pasukan Kelantan kena ikut pula telunjuk penaja pula macam dulu.
Sebab tu harap tokei batik ni tahu antara professionalism selaku Presiden. Jangan nanti jadi cam dulu. Ala korang faham lah kan. Jamal harap pasukan Kelantan dapat menunjukkan taring dalam bersaing di Liga Super 2018 nanti.

 

Cukuplah empat perkara yang boleh Jamal ceritakan yang berkaitan dengan Liga Malaysia ni. Semoga Liga Super 2018 akan menjadi lebih mencabar lagi dengan kemasukan pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu.

 

 

One thought on “Liga Super 2017 berakhir : Cerita dan Fakta Menarik Mengenai Liga Super 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.