Kuala Lumpur dikejutkan Melaka United di gelanggang sendiri

Pasukan Melaka United yang sebelum ini sering tewas apabila bertandang ke gelanggang lawan mula mencuri tumpuan selepas mendapatkan mata penuh pada perlawanan di Kedah tempohari.
Pada malam Selasa, sekali lagi pasukan Sang Kancil ini menunjukkan taring selepas menumpaskan tuan rumah. Kali ini pasukan Kuala Lumpur menjadi lawan yang dijinakkan oleh pasukan Melaka.
Pasukan Melaka menjaringkan gol pada minit ke 5 melalui penyerang import Zubovich. Pemain yang baharu sahaja menyertai skuad Sang Kancil, Syahrul Azwari menambah gol kedua pada minit ke 22. Pemain import Melaka Ifedayo menambah satu gol pada minit ke 34.
Kelekaan pertahanan pasukan Melaka United membenarkan pemain Kuala Lumpur menjaringkan gol pada minit ke 43.

Masuk ke separuh masa kedua, skuad tuan rumah melakukan asakan bertubi-tubi dan penjaring terbanyak KL, Guilherme De Paula menjaringkan gol pada minit ke 48.
Kesilapan pemain pertahanan Melaka, Khair Jones mengundang padah apabila bola terkena tangan sekaligus sepakan penalti disudahkan oleh De Paula pada minit ke 70.
Kalau ikutkan, Kuala Lumpur sepatutnya mendapat tonik untuk mendapatkan mata penuh di gelanggang sendiri namun gol kemenangan Melaka United pada minit 76 sekali lagi oleh Ifedayo menenggelamkan sorakan penyokong Kuala Lumpur.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada skuad Melaka sekaligus membawa pulang 6 mata berturut-turut dari 2 perlawanan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.