Khairul Hafiz perlu pecah rekod lagi untuk layak ke Sukan Komanwel

Pelari sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan, perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk layak dalam acara 200m Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, sekali gus menambah tekanan buat penampilan sulungnya dalam temasya itu.

Khairul Hafiz perlu melepasi had kelayakan kategori B yang telah ditetapkan, iaitu 20.64 saat.

Realitinya, Malaysia terpaksa menunggu selama 49 tahun sebelum Khairul Hafiz berjaya memecahkan rekod 200m kebangsaan, 20.90s, dalam Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Pelari kelahiran Melaka itu baru pulih daripada kecederaan hamstring dan kesuntukan masa untuk membuat persiapan rapi bagi melayakkan diri dalam acara 200m.

“Untuk mencatatkan masa melepasi had kelayakan 200m adalah sukar tetapi jika berjaya melakukannya, ia adalah satu habuan buat saya,” katanya.

Setakat ini, dia sudah melepasi had kelayakan kategori B bagi acara 100m Sukan Komanwel berbekalkan catatan 10.24s ketika mara ke final Kejohanan Asia, Julai lalu.

Jika Khairul Hafiz mahu melayakkan diri dalam kategori A, dia perlu sekali lagi mengulangi larian terbaiknya bagi melepasi had kelayakan 10.15s.

Dia masih lagi menunggu keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai program latihan di Jerman yang sepatutnya bermula bulan depan.

“Ia terserah kepada pihak atasan untuk mengatur persiapan kami bagi menghadapi cabaran saingan tahun 2018. Tugas kami adalah berlatih dengan jurulatih, Poad Kassim, untuk meningkatkan prestasi,” tambahnya.

– Sumber :-Stadium ASTRO

zool

Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan.
Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.

http://ligakampung.com/blog

One thought on “Khairul Hafiz perlu pecah rekod lagi untuk layak ke Sukan Komanwel

Leave a Reply