Kerajaan negeri berusaha tunaikan ganjaran wira Selangor 1995

SHAH ALAM, 12 Nov — Kerajaan Negeri Selangor sedang mencari jalan terbaik bagi menunaikan tuntutan ganjaran kepada bekas pemain pasukan bola sepak negeri itu yang berjaya menjulang Piala Malaysia musim 1995, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, beliau berkata agak sukar bagi pihaknya menunaikan ganjaran berupa lot tanah seperti dijanjikan oleh menteri besar pada ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, kerana ia membabitkan kawasan yang luas serta kira-kira 30 individu terdiri daripada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.

Justeru, beliau berkata pertemuan akan diadakan dengan pihak yang terlibat bagi membincangkan perkara itu agar satu penyelesaian dapat dicapai walaupun ganjaran dijanjikan itu dibuat oleh pentadbiran negeri dahulu.

“Kita akan melihat kembali data serta maklumat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sama ada pemberian tanah itu pernah diluluskan. Jika diluluskan, perlu dilihat di mana lokasi (sebenar) tanah itu,” katanya selepas merasmikan E-Bazar Deepavali dan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah Selangor di sini hari ini.

Amirudin diminta mengulas tuntutan bekas pemain dan pegawai pasukan Selangor yang masih belum menerima ganjaran seperti dijanjikan selepas menjuarai Piala Malaysia 1995.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan maklumat awal yang diperoleh pihaknya, pemain terlibat tidak mengisi apa-apa dokumen berkaitan ganjaran itu dan ia hanya dimaklumkan dalam satu taklimat.

“Mereka telah menjulang serta mengharumkan nama negeri dan nama-nama mereka dikenali sehingga ke hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Semalam, media melaporkan pasukan Selangor yang menjulang Piala Malaysia 1995 masih menunggu pemberian lot tanah yang dijanjikan kepada mereka selepas 25 tahun.

Pemberian lot tanah itu adalah sebagai ganjaran kepada pasukan tersebut kerana berjaya merangkul piala berprestij itu pada musim berkenaan yang sekali gus menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa kejuaraan.

Selangor turut mempertahankan gelaran itu pada dua musim berikutnya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.