LIGAKAMPUNG

Sukan Oh Sukan

Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Kenyataan Media Zulfadli mengenai kesalahan mengatur perlawanan

Umum sudah mengetahui tentang berita penggantungan pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkifli yang akan mengakibatkan kariernya bakal berakhir.
Hari ini beliau tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kes tersebut. Dalam sidang media tersebut, Zulfadli menyifatkan dirinya menjadi mangsa penindasan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila menegaskan beliau dihukum tanpa bukti kukuh.

Menurutnya perbualan antara beliau dengan Tan Chun Seang melalui aplikasi Whatsapp bukanlah mengenai mengatur perlawanan sebaliknya adalah mengenai penajaan dan aktiviti mengunjungi kasino (rujuk Kronologi kes Zulfadli ).
Dalam sesi media tersebut, Zulfadli ditemani keluarga dan pasukan guaman yang diketuai Datuk Joshua Kevin.
Menurut Zulfadli dan pasukan guamannya, BWF gagal membuktikan perincian terhadap tujuh pertuduhan yang dilakukan ke atasnya.

“Pada tahun 2017, BWF menghantar surat kepada BAM memaklumkan bahawa mereka mahu temuduga saya. Saya bersetuju tetapi saya meminta agar ayah saya dibenarkan ikut kerana dia lebih fasih dalam Bahasa Inggeris dan boleh menafsir percakapan ke tahap pemahaman saya.

“Namun, permohonan itu ditolak dan saya telah ditemuduga dalam Bahasa Inggeris bersama seorang penafsir tetapi apa yang disoal oleh seorang ‘Mat Saleh‘ bernama Paul Scotney. Apabila ditafsirkan soalannya, saya tidak tidak begitu faham.

“Malah, ada kalanya ‘Mat Saleh’ itu kata tidak perlu ditafsirkan dalam Bahasa Melayu. Saya tidak begitu faham dengan loghat Scotland,” katanya lagi.

Datuk Joshua Kevin dari Kevin & Co yang mewakili Zulfadli ketika sesi pendengaran BWF di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu berkata, badan induk badminton dunia itu menjatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh.

“Jika dia mengatur perlawanan, beritahu kami mana satu perlawanan diatur, jadi kami boleh membuat pembelaan. Jika BWF mengatakan semua kejohanan Grand Prix yang dia beraksi pada 2013 diatur oleh Zulfadli, bagaimana pula dengan perlawanan dimenanginya?

“Ini bermakna perlawanan yang dia menang pun diatur olehnya. Ini satu penghinaan, bagaimana pula perlawanan yang dia kalah, katakan semua perlawanan yang dia kalah diatur, ini satu penghinaan kepada pemenang. Kami ada membangkitkan soalan ini kepada penyiasat,” katanya.

Mengulas lanjut, Joshua berkata, BWF tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan beberapa perkataan menerusi perbualan WhatsApp antara Zulfadli dengan seorang lagi pemain yang turut terbabit, Tan Chun Seang dalam tempoh kejohanan yang dibangkitkan.

“Jika lihat keputusan 65 muka surat (laporan penuh panel dilantik BWF) itu, tidak menyebut perlawanan mana yang diatur. Fokusnya hanya terhadap kewujudan beberapa perkataan dalam WhatsApp itu.

“Dalam keadaan sebegitu, bagaimana kami mahu membela diri, ia agak mustahil.

“Isu yang penting di sini adalah kami mahu tahu perlawanan mana yang diatur? Jika lihat pertuduhan lain, dia tidak bermain secara bertungkus-lumus… perlawanan mana yang dia tidak bermain bertungkus-lumus.

“Katakanlah dia bermain menentang Lin Dan, takkanlah anda jangkakan dia menang… jika lawan pemain hebat, dia boleh kalah,” katanya.

Ditanya apakah peluang Zulfadli jika mencabar keputusan BWF, Joshua berkata: “Dalam hal ini, Zulfadli ada dua masalah. Pertama, dia tidak mempunyai cukup wang untuk membayar denda sebelum rayuan boleh difailkan dan keduanya, saya rasa sebelum perbicaraan itu dia memang yakin tiada kaitan dengan perkara itu tapi selepas keputusan keluar, dia tiada keyakinan lagi dengan badan kehakiman (BWF),” katanya.

Zulfadli berdepan 31 kesalahan dan hukumannya ialah penggantungan selama 20 tahun serta didenda USD25,000 (RM98,162) sementara Chun Seang pula digantung 15 tahun dan didenda USD15,000 (RM58,897).

Sumber :-Stadium Astro

HMetro

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)