KBS mahu kaji semula Pendidikan Jasmani, Rakan Sukan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan kaji semula subjek Pendidikan Jasmani dan cadangan menghidupkan kembali program Rakan Sukan.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baharu memulakan tugasnya secara rasmi hari ini, berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk mengkaji dan membincangkan perkara itu dengan teknokrat yang terlibat sebelum mengambil keputusan.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan (Menteri Pendidikan) Dr. Maszlee Malik agak baik, saya akan berbincang dengannya cadangan kaji semula Pendidikan Jasmani. Ini supaya kita dapat latih anak-anak bersukan dari bangku sekolah lagi untuk merealisasi impian menjadi negara bersukan.

“Bagi program Rakan Sukan, saya perlu berbincang dengan pakar-pakar di KBS, kerana saya tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru yang boleh memburukkan keadaan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan majlis serah tugas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini.

Program Rakan Sukan adalah inisiatif kerajaan untuk mendapatkan tajaan sebuah syarikat swasta bagi sukan yang diperkenalkan pada 1994, iaitu empat tahun sebelum Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998.

Ditanya mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN), Syed Saddiq berkata secara prinsipnya, ia merupakan program yang baik.

“Impak PPBN ini diterima oleh beratus ribu orang, termasuk ibu bapa murid-murid yang bermain di sekolah. Saya juga dimaklumkan bahawa ada kemungkinan kita membida untuk Piala Dunia 2034.

“Secara amnya, program yang baik harus diteruskan. Saya mahu kurangkan campur tangan politik dan mengutamakan kepada pandangan pakar,” kata Anggota Parlimen Muar itu.

– Bernama

Bagus-bagus. Kalau boleh jadikan Pendidikan Jasmani ni satu matapelajaran yang menyeronokkan dan bukan sekadar hanya tangkap muat je.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Archives