post

Jun Hoong terfikir mahu bersara?

Ratu terjun dan bekas juara dunia , Cheong Jun Hoong kini sedang bersiap siaga untuk mendapatkan prestasi terbaik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.
Atlet yang berusia 30 tahun dari Ipoh ini tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Mei 2019 akibat kecederaan dan pernah memikirkan untuk bersara susulan tiada kejohanan akibat pandemik COVID-19.
Jun Hoong yang kini bersama kem Road To Tokyo(RTT) sejak Jun lalu kurang berpuas hati dengan tempoh latihan berbanding bersama bekas jurulatih Zhang Yuliang di China.
Meskipun begitu sebagai atlet professional dia tetap memiliki keazaman yang tinggi.

“Saya masih ingin beraksi dan itu mungkin semangat yang ada pada saya sebagai seorang atlet. Memang pernah terfikir untuk bersara tetapi itu perkara biasa apabila anda menghadapi masalah atau kecewa, kita kan insan biasa.

“Semangat untuk bertanding itu saya tidak berani nak cakap, masalah saya sekarang latihan, kalau latihan baik pasti prestasi yang baik dapat dijelmakan di kejohanan. Saya cuma harap program latihan boleh ditambah baik kemudian baru kita bercakap soal pertandingan,” kata Jun Hoong.

Jun Hoong yang mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama memenangi gelaran juara dunia dalam acara 10 m platform individu di Budapest pada 2017 juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.
Kejohanan terakhir yang disertai adalah pada Siri Terjun Dunia FINA 2017 di Russia yang menyaksikan beliau memenangi pingat gangsa acara 10m platform seirama bersama Pandelela.

“Jika nak bertanding saya perlu pastikan saya berada dalam keadaan terbaik dan bersedia selain berharap pengalaman saya boleh bantu dalam sesuatu pertandingan,” jelas Jun Hoong.

Beliau dijangka menyertai pertandingan pertamanya dalam tempoh lebih dua tahun pada kejohanan secara maya anjuran Malaysia Swimming yang bakal disertai negara yang mempunyai zon masa sama, antaranya New Zealand dan Australia pada Disember ini. – BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.