Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Harimau Malaya sekadar berdepan kelab UAE

Skuad bolasepak Malaysia hanya mendapat perlawanan persahabatan menentang kelab dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas Bahrain membatalkan aksi persahabatan antarabangsa sebelum skuad Harimau Malaya bertemu pasukan kebangsaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang berlangsung pada 26 Mac ini.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, aksi persahabatan dengan Bahrain terbatal selepas Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) enggan beraksi menentang negara yang berisiko mempunyai wabak COVID-19. Ini berikutan kerajaan Bahrain mengetatkan keluar masuk ke negara itu termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Berkemungkinan besar kita akan bertolak awal ke UAE dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab berstatus tinggi di sana.

“Agak sukar untuk mendapat pasukan lain kerana mereka mempunyai perancangan masing-masing, di tambah pula dengan wabak COVID-19. Sekiranya ada pasukan bersetuju, kita akan bermain dengan pasukan itu tetapi sehingga pagi ini, belum ada lagi,” katanya pada satu sesi perjumpaan dengan media di sini, hari ini.

Selepas aksi di Dubai itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijadual bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian (31 Mac), sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand di Bangkok pada 9 Jun depan.

Sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19, Hamidin berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap penonton ketika aksi menentang Vietnam itu.

“Kita akan melakukan beberapa ‘langkah pencegahan’ seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan menyediakan hand sanitiser kepada penonton, kerana kita mahu mengurangkan risiko walaupun penularan wabak COVID-19 agak kurang pada masa ini.

“Kita juga meminta semua pasukan melakukan perkara sama semasa perlawanan Liga Malaysia, yang akan membuka tirai pada Jumaat ini. Sekiranya ada nasihat tambahan daripada Kementerian Kesihatan, kita akan ikut,” katanya yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Malaysia, pasukan ranking ke-154 dunia, kini menduduki tempat kedua kumpulan dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, sekiranya mencatat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)