Archives

Penaja

Adakah anda ingin menaja Ligakampung.com ? Sila emel kepada zzarizi[at]gmail.com

Dua acara sukan ditangguh akibat jerebu

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Dua acara sukan yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditangguhkan disebabkan bacaan IPU jerebu yang tinggi.

BHPetrol, penganjur larian BHPetrol Orange 2019 dalam satu kenyataan hari ini berkata, acara itu yang dijadualkan pada Ahad (15 Sept) akan ditangguhkan ke satu tarikh dimaklumkan kemudian.

“Larian tahunan BHPetrol Orange adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Melihat kepada situasi semasa, BHPetrol menangguhkan acara tersebut bagi melindungi rakyat daripada pendedahan kadar jerebu yang tinggi.

“Satu tarikh baru akan dimaklumkan selepas ini,” kata penganjur.

Sementara itu Cycling Selangor iaitu penganjur Selangor Criterium Series juga mengumumkan Perlumbaan 03 yang dijadualkan pada Sabtu (14 Sept) telah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

Pihak penganjur dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kepada pemantuan terhadap trend semasa dan juga ramalan Indeks Pencemaran Udara (API), bacaannya akan terus meningkat sehingga esok menjadikannya tidak selamat untuk acara di luar.

“Walaupun kami amat teruja dengan siri ini dan memahami semangat dan persediaan yang dilakukan setiap penunggang, kami berharap semua pihak faham, bahawa keselamatan dan kesihatan anda menjadi keutamaan kami.

“Oleh sebab itu bagi menjawab kepada platform dalam talian kami semalam, kami akan meneruskan untuk membatalkan dan menangguhkan perlumbaan. Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira sepenuhnya terhadap tindakan kami selepas dinasihatkan oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan, selain daripada panduan acara sukan nasional berkaitan jerebu,” kata penganjur.

Penganjur turut menyatakan satu tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat dan sebarang pulangan balik wang boleh dimohon melalui emai; selangorcriterium@gmail.com.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad olahraga negara Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata sesi latihan atlet olahraga akan dialihkan kepada aktiviti dalaman, sekiranya keadaan jerebu yang melanda negara semakin buruk.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau bacaan jerebu dan juga mendapatkan nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) mengenai sesi latihan luar.

“Latihan akan berjalan seperti biasa. Namun jika keadaan semakin teruk dan tidak sesuai, kita akan jalani latihan di gimnasium. Atlet negara perlu menjalani latihan, kerana akan menyertai beberapa kejohanan dalam tempoh akan datang,” katanya.

Sementara itu, penganjur acara larian Standard Chartered KL Marathon 2019, Dirigo Events Sdn Bhd berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau tidak acara berkenaan, bergantung kepada situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Jurucakap penganjur berkata sehingga kini acara tahunan itu akan diteruskan, namun jika bacaan IPU masih tinggi, satu keputusan akan diumumkan kelak.

“Sama ada terus atau tidak, bergantung kepada keadaan jerebu. Kita tidak buat keputusan lagi. Mungkin dua tiga hari sebelum acara bermula baru kita buat keputusan. Pada masa sekarang masih diteruskan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Untuk rekod, larian Standard Chartered KL Marathon 2015, telah dibatalkan sehari sebelum acara itu diadakan susulan jerebu yang semakin buruk dan berada pada tahap tidak sihat di sekitar ibu negara.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata jerebu yang berlaku di seluruh negara dijangka berakhir awal bulan depan iaitu ketika musim peralihan monsun iaitu selepas monsun barat daya berakhir.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 10 pagi ini, sebanyak 24 stesen mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala 43 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

— BERNAMA

Ligakampung.com mengharapkan agar jerebu yang melanda negara ini dapat hilang supaya acara sukan dapat dilaksanakan. Bagi mereka yang aktif bersukan, elakkan pada minggu ini kerana jerebu akan menyebabkan banyak masalah lain.

Untuk maklumat lanjut acara sukan BHPetrol Orang Run, sila rujuk facebook rasmi https://www.facebook.com/BHPetrol.OrangeMania/

Please follow and like us:
error0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)