post

Persatuan Sepaktraw Malaysia cari formula atasi masalah gugup

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) mencari formula terbaik mengatasi masalah mental pemain negara yang sering gugup apabila turun berdepan Thailand.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, skuad negara sudah hampir menyamai Thailand dari segi kemahiran tetapi faktor mental membezakan kedua-dua pasukan berdasarkan prestasi skuad lelaki negara pada temasya Sukan SEA di Filipina tahun lalu.

Menurutnya, skuad itu hampir mencatatkan sejarah di Sukan SEA dengan menewaskan Thailand dalam final antara regu lelaki, namun hanya mula main baik pada set kedua.

“Thailand sudah menggunakan segala strategi dan kudrat dengan membawa masuk semua pemain simpanan, jika perlawanan masuk ke tie breaker, sudah pasti kita menang. Kelemahan kita ialah gugup dan gemuruh apabila bertemu Thailand.

“Jadi kami sedang mencari bantuan ahli psikologi atau kaedah terbaik untuk keluarkan perasaan itu untuk menewaskan Thailand pada masa hadapan,” katanya selepas mesyuarat bedah siasat Sukan SEA ke-30 di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Beliau berkata, bukan sahaja tekong kurang keyakinan untuk menerima bola daripada pemain Thailand, malah perejam sendiri tidak begitu yakin untuk membuat serangan berbahaya ke tempat lawan.

Bagaimanapun, Ahmad gembira apabila skuad sepak takraw negara berjaya mencapai sasaran dua pingat perak di Sukan SEA apabila meraih perak acara antara regu dan regu berpasukan lelaki, selain gangsa antara regu wanita.

“Bagi memantapkan lagi pasukan, skuad negara memerlukan perubahan dari segi latihan dan lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Kelemahan paling ketara kita kekurangan kejohanan antarabangsa, amat kurang sekali. Kita minta MSN untuk lebih banyak pendedahan dan perkara ini akan dibincangkan pada Bengkel Periodisasi pada 29 Januari ini,” katanya.

Sumber :-Sinar Harian

Ligakampung.com berharap masalah gugup itu dapat diatasi segera oleh para pemain. Susah betul nak menang lawan Thailand ni.

Please follow and like us:
error0

Perak Bison juarai STL 2019

IPOH, 3 Nov — Perak Bison muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Perdana 2019 selepas membenam cabaran Penang Black Panthers 2-0 dalam perlawanan terakhir di Stadium Indera Mulia, di sini, malam ini.

Dalam aksi di hadapan lebih 2,000 penyokong, Perak Bison menurunkan gandingan Meor Zulfikar Mat Amin selaku tekong, Amirul Ramadhan Fazillah dan Asraaf Abd Hadi mencatatkan kemenangan 21-17, 21-9 ke atas Penang Black Panthers yang dibarisi trio Said Ezwan Said, Azlan Alias serta Zulhusni Basri.

Pengendali pasukan, Ismi Hissan Ismail berkata beliau gembira kerana pasukannya berjaya meraih kejuaraan setelah hampir empat bulan membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan pada edisi kali ini.

Katanya, kejayaan yang diraih itu juga hasil daripada semangat berpasukan selain sikap pemain yang tidak berputus asa sehingga minggu ke-18 iaitu hari terakhir perlawanan.

“Ada yang antara sebab kami juara adalah kerana tekong import, Natthawut Naeprom, tapi bagi saya kejuaraan ini datangnya daripada semua pemain memberikan komitmen 100 peratus sepanjang kejohanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam ini.

Selaku juara, Perak Bison membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

ATM Guardians yang meraih tempat kedua membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, manakala pengurus pasukan, Mej Tajul Hisyam Mamat dinobatkan sebagai pengurus terbaik, sementara pengendali, Aswadi Abdullah pula diumum jurulatih terbaik.

Tempat ketiga menjadi milik Johor Tigris dan Penang Black Panthers, keempat.

Dalam satu lagi aksi untuk melengkapkan jadual perlawanan, Negeri Sembilan Antlers berjaya menewaskan Kuala Lumpur Thunders 11-21, 21-18, 21-12.

Selepas ini, lima pasukan teratas Divisyen Perdana STL Premier 2019 iaitu Perak Bisons, ATM Guardians, Johor Tigris, Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors akan beraksi pada saingan Piala Juara-juara STL di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Johor pada 22 hingga 28 Dis ini.

Saingan itu turut disertai pasukan jemputan dari Indonesia, Thailand, Singapura, China dan Filipina.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0
post

Syahir , Zulkifli bakal buat rayuan

Dua bekas tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, memberi isyarat sedia melakukan “pusingan U” untuk bersama skuad kebangsaan semula setelah mereka akur dengan hukuman dikenakan dan membuat permohonan maaf terbuka kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Syahir dan Zulkifli akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari ini bagi mengurangkan tempoh hukuman dua tahun yang dikenakan susulan masalah disiplin seperti didakwa PSM.

Mereka mengakui keputusan bersara dibuat secara terburu-buru dan sedia menyarung semula jersi kebangsaan sejurus tamat penggantungan mereka kelak.

Tambahan mereka sedia mengetepikan hal pembahagian elaun tidak telus yang didakwa sebelum ini setelah segalanya diselesaikan dengan campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) danMajlis Sukan Negara (MSN) bersama PSM.

“Saya memohon maaf di atas apa yang telah berlaku kerana tindakan saya telah melanggar peraturan sebagai atlet. Saya memohon maaf atas kesilapan saya,” kata Syahir.

Hukuman tambahan 30 jam pembabitan dalam kerja amal berkaitan pembangunan sepak takraw juga tidak dirasakan beban memandangkan PSM bercadang memanggil Syahir dan Zulkifli untuk dijadikan rakan pelatih dalam kem kebangsaan bagi membantu persiapan skuad negara ke Sukan SEA Filipina bulan depan.

“Saya dan Zulkifli akan membuat rayuan untuk mengurangkan penggantungan yang telah dikenakan,” tambah Syahir.

Hasrat dua bekas tekong negara itu untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan adalah sesuatu yang menggembirakan ketua jurulatih skuad negara, Abd Talib Ahmad, serta kapten pasukan negara, Farhan Adam.

“Saya berharap Syahir dan Zulkifli kembali ke skuad negara kerana kemampuan mereka amat diperlukan,” kata Abd Talib.

“Semangat mereka amat diperlukan untuk skuad negara menghadapi Sukan SEA bulan depan,” ujar Farhan.

Sumber :-Stadium Astro

Satu keputusan yang baik buat dua tekong kebangsaan ini. Ia adalah satu perkembangan positif terutama buat Syahir yang masih muda lagi. Diharap penggantungan mereka berdua dapat dikurangkan bagi membantu kemajuan sepaktakraw di Malaysia ini.

Please follow and like us:
error0
post

STL 2019 : Pemain import , Membunuh atau Meningkatkan Kualiti Pemain Tempatan?

Nampaknya Sepaktakraw League (STL 2019) menambah rencah dengan kemasukan beberapa pemain import dari Thailand. Salah seorangnya adalah nama besar iaitu bekas pemain kebangsaan Thailand, Wirawut Nongkhai yang beraksi untuk pasukan Negeri Sembilan Anthlers. Kemasukan pemain-pemain ini memberikan satu impak berbeza bagi setiap pasukan yang bertanding dalam kancah STL pada tahun ini. Dilihat ada satu aura berbeza berbanding STL tahun lepas.

Pic From : http://www.zimbio.com/photos/Nongkhai+Wirawut+Na/2nd+ISTAF+Super+Series+Day+2/pL4zWrqff2w

Dalam kemasukan pemain-pemain import ini pasti ada pro dan kontranya. Dari segi kualiti, ia pastinya akan memberikan saingan kepada pasukan-pasukan bertanding. Kita sedia maklum, pasukan Thailand merupakan gergasi sepak takraw. Kalau dilihat, kebanyakan pasukan menampilkan pemain import yang beraksi di posisi tekong untuk mendapatkan kemenangan melalui service ace mereka ini. Dalam itu, terdapat beberapa persoalan dari peminat sepaktakraw dimana adakah kemasukan pemain-pemain import ini mampu meningkatkan kualiti pemain tempatan atau membunuh bakat-bakat yang muncul di gelanggang ini.

Ligakampung.com sukar untuk memberikan pendapat mengenai situasi ini memandangkan ia masih baru lagi. Kalau dilihat pemain kebangsaan masih bermain seperti Meor yang beraksi untuk Perak Bison cuma yang lain belum dipastikan lagi. Apatah lagi dua pemain tekong utama kebangsaan iaitu Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak telah digantung dari beraksi di kejohanan STL tahun ini. Pasti agak sukar untuk melihat impak pada pemain tekong lain.

Dari segi killer pula, nampaknya pasukan bertanding tak banyak ambil pemain import dan saingan pemain seperti Fazil Mustapha, Azlan Alias,  Norhafizi Razak , Afifudin serta Khairul Zaman masih terbuka. Mereka masih mempunyai peluang untuk beraksi manakala tiada pemain import di posisi feeder.

Jadi apa pendapat anda semua? Mungkin boleh berikan sedikit komen untuk dikongsikan..

Please follow and like us:
error0
post

ISTAF bakal perkenal Liga Profesional

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bakal memperkenalkan Liga Profesional Sepak Takraw (SPL) menjelang tahun 2020.
Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, liga ini akan menyediakan platform terbaik untuk pemain sepak takraw bermain sekaligus memberi ruang untuk sukan ini menjadi bertaraf profesional.
Dengan wujudnya SPL, persaingan pemain lebih menarik sekaligus menonjolkan lagi sukan ini ke mata dunia. Ia juga sebagai salah satu usaha untuk memastikan sukan sepak takraw berada dalam acara Sukan Olimpik pada masa hadapan.

Menurut Abdul Halim, sukan sepak takraw berpotensi besar.
“Beberapa negara mempunyai liga sepak takraw mereka sendiri pada masa ini. Menerusi pengenalan ISTAF Super Series dari 2011 hingga 2014, saya dapat melihat penonton sepak takraw melonjak kepada 1.4 bilion orang daripada 715 juta pada 2012.

“Kelab mesti dimiliki oleh badan korporat, personaliti perniagaan dan pemimpin bersemangat. Segala-galanya daripada gaji, insurans, permit kerja dan pertukaran pemain perlu dilakukan secara profesional,” katanya.

Abdul Halim berkata perancangan awal adalah menganjurkan liga dalam dua bahagian, terdiri daripada pertandingan antara negara dan kelab, bertujuan menyediakan gaji lumayan kepada para pemain.

— BERNAMA

Cadangan ISTAF ini patut dipuji bagi meningkatkan martabat sukan sepak takraw itu sendiri. Kewujudan liga profesional membolehkan pemain-pemain meneruskan kerjaya mereka sebagai atlet secara sepenuh masa.
Kalau kita lihat pada masa kini, kebanyakan pemain adalah secara separuh masa dan mempunyai komitmen kerja mereka. Tidak semua majikan memberikan kebenaran kepada para pemain untuk beraksi dalam acara takraw ini.
Sekiranya terdapat liga yang lebih kompetitif sudah pasti banyak penaja akan tampil untuk memberikan sumbangan. Ini sekaligus menambahkan seri sukan ini di mata dunia.

Please follow and like us:
error0
post

Sepak Takraw bakal ke Olimpik

Peminat sukan sepak takraw mungkin gembira mendengar berita ini. Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sedang merangka hala tuju sukan ini untuk membawanya ke Sukan Olimpik.
Antara perkara penting bagi memastikan objektif ini berjaya adalah dengan cuba membawa negara-negara Eropah dan Afrika Selatan bagi menyertai acara sukan yang berakar umbi di Asia Tenggara ini.
Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Fatuk Abdul Halim Kader, badan induk sepak takraw telah bekerja keras membangunkan sukan sepak takraw ke dalam acara suka pelbagai sebelum berjaya disenaraikan dalam Olympic Channel baru-baru ini.

STAF kini perlu meningkatkan bilangan ahli gabungannya dan populariti sukan itu di seluruh dunia bagi meyakinkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana pada masa ini hanya 45 negara yang bermain sepak takraw.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya 50 negara (ahli gabungan) untuk diiktiraf sebagai satu sukan oleh IOC. Tetapi untuk layak dipertandingkan dalam Olimpik, kami memerlukan 75 negara yang bermain di lima benua.

“Dalam mesyuarat Majlis di Bangkok baru-baru ini, kami telah membangun dan menerima pembentukan persekutuan di Afghanistan, Iraq, New Zealand, Tajikistan dan Kyrgyzstan. Saya optimistik untuk mendapatkan 10 lagi ahli gabungan baharu dalam masa 24 bulan melalui skim penyesuaian yang dicadangkan.

“Kami telah membentuk pasukan petugas terdiri daripada pemimpin dari pelbagai negara untuk mencari 10 negara baharu di Eropah dan Afrika Selatan sebagai ahli gabungan kita. Setiap ahli, sebagai contoh Malaysia, boleh mengguna pakai dua atau tiga negara untuk mempromosi dan membangun sukan sepak takraw di negara baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Sukan Komanwel, Abdul Halim berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) David Grevemberg dan Pengarah Sukan CGF Ann-Louise Morgan untuk mempamerkan sepak takraw sebagai sukan yang diiktiraf di Birmingham 2022.

Sukan yang diiktiraf adalah kategori ketiga sukan dalam Sukan Komanwel selepas sukan teras dan sukan pilihan, yang bermaksud sukan itu telah diiktiraf oleh CGF tetapi dianggap akan berkembang sebelum dimasukkan ke dalam temasya sukan itu.

Menurut balasan e-mel oleh Ann-Louise kepada ISTAF, pendekatan baharu sukan diiktiraf akan membolehkan CGF dihubungkan dengan sukan yang boleh menjadi daya positif untuk penglibatan masyarakat, perayaan serantau atau pembangunan sosial.

Ia termasuk sukan yang dikaitkan dengan acara penyertaan daripada orang ramai, sukan yang dikhususkan kepada budaya, wilayah atau Persekutuan Antarabangsa tertentu yang terlibat dalam projek global menggunakan sukan sebagai alat pembangunan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata kira-kira 12 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan negara-negara Komanwel yang dijadualkan pada awal tahun hadapan.

“Kami menerima maklum balas positif dari Singapura dan India untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, ia akan dianjurkan bertujuan untuk diiktiraf oleh CGF. Bagi tujuan itu (diiktiraf dan dimasukkan ke dalam Sukan Komanwel), kami perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan CGF dan kini, kami dalam proses mendapat pengiktirafan.

“Saya yakin jika Persekutuan Antarabangsa berfungsi dengan baik, fokus untuk mencapai matlamat, kita boleh bawa sepak takraw ke Olimpik. IOC pasti akan pertimbangkan berdasarkan kriteria dan pemprosesan… Ketelusan dan mengikut tadbir urus akan menjadi kriteria utama untuk diiktiraf,” tambahnya.

Sepak takraw mula dipertandingkan pada temasya Sukan SEA pada 1965 manakala Sukan Asia pula pada 1990.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error0
post

Zulkifli , Syahir dilarang sertai MAKSAK

Nampaknya harapan pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menggunakan ZUlkifli dan Syahir dalam Kejohanan Sepaktakraw MAKSAK 2019 tidak terlaksana.
Ini kerana kedua-dua bekas tekong negara itu telah digantung dalam sebarang aktiviti sepak takraw oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurut PSM, keputusan ini terpakai bagi Kejohanan Sepaktakraw MAKSAK 2019 mulai 25 hingga 28 Julai di Stadium Negeri.
Zulkifli merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu manakala Syahir pula bertugas di Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kuala Lumpur.
Kedua-dua pemain ini disingkir PSM atas alasan displin dan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan.

Memang amat merugikan bukan sahaja pada kedua-dua pemain tetapi kepada pasukan yang menyertai dalam MAKSAK tersebut.
Pastinya mereka ingin menggunakan khidmat tekong negara itu dalam kejohanan terbabit. Apapun diharap isu ini dapat diselesaikan kerana mereka masih mampu untuk berkhidmat dalam sukan ini.
Agak menyedihkan apabila kelibat kedua-dua pemain yang membawa pingat emas Sukan Asia ini tidak dapat digunakan lagi selepas ini.

Please follow and like us:
error0
post

2 Tekong Negara Bakal Bersara ? Apa Sudah Jadi PSM ?

Minggu ini kita dikejutkan dengan satu pengumuman oleh 2 tekong sepaktakraw negara iaitu Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak.
Kedua-dua tekong negara yang membantu memenangi emas Sukan Asia 2018 dikhabarkan akan bersara dari mewakili pasukan negara. Ia berikutan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkenaan elaun serta pemilihan pemain.

Kedua-dua pemain ini telahpun digugurkan oleh PSM dengan alasan disiplin namun mereka tampil menafikan kenyataan tersebut sambil memaklumkan bahawa akan bertemu Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan masalah mereka.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataannya bersedia untuk bertemu bagi membincangkan isu tersebut.
Menurutnya, beliau telah bertemu Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dan akan bersedia bertemu kedua-dua atlet takraw ini.

Amat mengejutkan mendengar berita ini apatah lagi kedua-dua tekong ini masih mampu untuk beraksi di peringkat tertinggi.
Isu ini perlu diselesaikan dengan segera bagi memastikan mereka masih mampu untuk berkhidmat pada negara apatah lagi Syahir Rosdi baru berusia 23 tahun dan sepatutnya mampu untuk membantu negara dalam beberapa kejohanan utama lagi manakala Sobe diperlukan dengan pengalamannya.

Selain dari MSN, kita perlu juga bantuan oleh KBS bagi menyelesaikan masalah ini sebab ianya juga melibatkan elaun pemain.

Please follow and like us:
error0