BAM pertahan keputusan gugur pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan keputusan menggugurkan lima pemain daripada tempoh percubaan skuad kebangsaan selaras dengan haluan baharu badan induk itu.

Pemain beregu lelaki, Mohd Arif Latif yang menyertai semula persatuan itu pada April lalu tidak berpuas hati apabila dia bersama empat lagi pemain, Nur Azriyn Ayub, Lim Khim Wah, Ameer Amri Zainuddin dan Wong Wai Jun secara tiba-tiba diarahkan untuk meninggalkan BAM, semalam.

Arif, 29, mendakwa tindakan pengguguran itu tidak adil dan menuduh ketua jurulatih beregu, Cheah Soon Kit mengamalkan sikap pilih kasih.

Begitupun, Pengurus Besar BAM, Michelle Chai menolak dakwaan itu dengan berkata, ia adalah keputusan bersama yang dibuat oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang bermesyuarat, minggu lalu.

“Pemain yang digugurkan semuanya di bawah tempoh percubaan. Bagi sesetengah daripada mereka, tempoh percubaan tamat pada bulan ini dan bakinya pada bulan depan.

“Kami sudah pun memberitahu mereka lebih awal, jadi mereka boleh mula merancang sesuatu. Ia sama seperti dunia pekerjaan, di mana kamu akan diberitahu lebih awal mengenai status percubaan kamu.

“Keputusan tidak mengekalkan pemain terbabit dibuat secara bersama oleh C&T. Ia selaras dengan haluan baharu BAM, yang mahu fokus kepada pemain remaja berpotensi dan pemain elit sahaja.

“Ia akan menjadi lebih jelas pada Ogos nanti, apabila kami mula mengecilkan skuad kebangsaan. Lima pemain ini, bagaimanapun akan dilepaskan lebih awal kerana tempoh percubaan mereka hampir tamat, itu saja,” kata Michelle.

Arif yang berada dalam skuad Piala Thomas negara, bulan lalu turut menyalahkan Soon Kit kerana kurangnya kejohanan untuk disertai mereka.

Michelle ketika diminta mengulas tuduhan berkenaan berkata: “Penilaian utama dilakukan di gelanggang latihan, bukan dalam kejohanan sahaja. Jurulatih menilai pemain setiap hari.

“Pemain perlu faham, mereka perlu bekerja keras di gelanggang latihan untuk meyakinkan jurulatih bagi menghantar mereka ke kejohanan. Ia adalah kehidupan seorang ahli sukan. BAM sentiasa mahukan yang terbaik,” kata Michelle sambil menambah pintu BAM sentiasa terbuka bagi pemain berpotensi.

Sumber :-Bharian

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

Leave a Reply