Azlan Shah raih gelaran kelas SuperSports 600cc di Thailand

PENGALAMAN beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) membuktikan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman layak untuk bergelar juara keseluruhan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Bu­riram, Thailand semalam.

Kesungguhan Azlan menunggu saat akhir untuk menaiki podium tercapai apabila berjaya memintas pelumba Thailand, Chalermpol Polaimai (Yamaha Thailand Racing Team) pada pusingan terakhir untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, sekali gus meraih 155 mata keseluruhan.

Hasil keputusan tersebut, Azlan yang beraksi bersama pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing dinobatkan sebagai juara musim ini, sekali gus meraih gelaran keduanya dalam kelas SuperSports 600cc ARRC selepas memintas rakan senegara, Mohd. Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Ra­cing) dengan perbezaan dua mata.

“Pasukan kami bekerja keras sepanjang malam untuk menyiapkan jentera saya selepas prestasi tidak begitu baik sewaktu perlumbaan pertama semalam (kelmarin). Saya berterima kasih kerana mereka tidak berputus asa dan sentiasa menyediakan yang terbaik untuk saya.

“Dari awal perlumbaan saya sedar perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik tetapi ketika itu jentera Yamaha terlalu laju sehingga menyukarkan saya untuk memintas.

“Pada masa sama, saya perlu menjaga tayar jentera sehingga ke penamat. Strategi saya berjaya apabila memintas Chalermpol di selekoh pada pusingan terakhir. Apa pun saya ingin berterima kasih kepada pasukan Kawasaki yang sentiasa menyokong saya sehingga hari ini,” katanya sejurus tamat perlumbaan semalam.
Selain kejayaan tersebut, Azlan turut membantu pasukan Kawasaki muncul pasukan terbaik selepas kali terakhir mereka memenangi pada tahun 2011.

Penamat di tempat ketujuh meletakkan Zaqhwan sebagai naib juara ke­seluruhan dengan 153 mata. Taiga Hada (RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10) pula yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan terpaksa berpuas hati di tangga ketiga keseluruhan dengan 149 mata.

Sumber :-Kosmo

zool

Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan.
Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.

http://ligakampung.com/blog

Leave a Reply