Apa impak Ghaddar ke JDT?

Mungkin anda sudah sedia maklum tentang perpindahan penjaring terbanyak Liga Super 2017 setakat ini Mohammed Ghaddar dari pasukan Kelantan ke pasukan JDT. Pemain kelahiran Lebanon itu menerima tawaran dari pasukan dari Selatan itu selepas ditawarkan pendapatan yang lumayan yang melebihi setahun gaji yang diterima di Kelantan. Pasti ia peluang yang tidak akan dilepaskan apatah lagi dalam keadaan kemelut kewangan yang dihadapi oleh pasukan Kelantan.

Ligakampung.com ingin memberikan sedikit pendapat apa yang berlaku dengan perpindahan Ghaddar ke JDT nanti. Antaranya ialah :-

  1. Pasukan JDT mempunyai pesaing dari segi penjaring gol. Dengan kemasukan Ghaddar penyerang Gabriel Guerra perlu menunjukkan kehebatan tersendiri. Pasti akan ada perbandingan jaringan gol antara kedua pemain ini nanti. Samada ia akan memberi impak positif atau negatif hanya akan dapat disaksikan pada hujung musim nanti.
  2. Penyerang tempatan, Hazwan Bakri perlu meningkatkan aksi atau beliau akan hanya memanaskan bangku simpanan. Ia bukan satu petanda yang baik bagi penyerang muda negara ini. Sekiranya peluang beliau semakin terhad mungkin alternatif berpindah ke tempat lain adalah satu keputusan yang boleh dibuat oleh beliau. Ia penting bagi meningkatkan bakat beliau untuk berada dalam tahap tertinggi. Agak malang kalau sekiranya beliau masih berada dalam bangku simpanan.
  3. Tekanan besar untuk Ghaddar membuktikan perpindahan beliau berbaloi. Bagi mereka yang mengikuti Liga M, Ghaddar sebenarnya pernah GAGAL ketika beraksi di Felda United pada musim 2013 apabila beraksi hanya sebanyak 7 kali sahaja. Cuma pada tahun ini impak beliau agak besar apabila menjaringkan hatrik untuk Kelantan pada musim ini. Mampukah beliau meneruskan aksi seperti ketika di Kelantan? Bukan mudah apatah lagi persaingan di JDT lebih sengit untuk merebut tempat selaku pengempur utama.
  4. Pelaburan Ghaddar adalah untuk jangka masa pendek bagi JDT. Pemain Lebanon itu telah berusia 32 tahun dan sukar untuk beliau beraksi dalam jangka masa 5 tahun lagi.
  5. Pastinya perlawanan menentang Kelantan amat sukar bagi beliau apatah lagi jika JDT bertandang ke Kota Bharu. Beliau kena mempunyai tahap professionalism yang tinggi serta mental yang kuat. Pasti akan menjadi ejekan para penyokong di sana.
  6. Pasukan Kelantan yang sebelum ini berura-ura untuk menarik diri dalam Liga Malaysia boleh menggunakan pendapatan hasil perpindahan itu untuk mengukuhkan kewangan pasukan. Tak perlu mengelabah untuk menggantikan Ghaddar sebaliknya mencari para pemain tempatan yang mampu menjadi pengempur. Rasanya ada bakat-bakat terutama di Piala Presiden untuk digilap oleh KAFA. Jangan risau untuk musim ini kerana agak sukar untuk mereka bersaing merebut kejuaraan sebaliknya memastikan mereka tidak tersingkir ke Liga Perdana.

Melalui isu ini kita dapati sedikit sebanyak Liga M telah mula menjadi sebuah perniagaan. Kalau kita lihat pada kelab-kelab bolasepak besar di dunia, perpindahan pemain dengan amaun yang tinggi adalah perkara biasa. Sebagai peminat bolasepak, mungkin kita patut menerima situasi ini. Walaupun mungkin pedih apabila pemain kesayangan berpindah secara begitu namun inilah hakikat yang perlu kita telan.

Semoga penyokong Kelantan bersikap professional dan menganggap ini adalah asam garam bola sepak professional.

 

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

Leave a Reply