3 sukan digugurkan daripada sukan teras

Agak malang bagi atlet sukan sepak takraw, angkat berat dan taekwando apabila ketiga-tiga acara sukan ini digugurkan daripada senarai 19 sukan teras bermula di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak tahun hadapan.
“Sukan angkat berat digugurkan kerana prestasi semakin merosot, atlet-atlet mempunyai masalah disiplin melibatkan tujuh kes doping telah dilaporkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) sejak empat tahun lepas.

“Sepak takraw pula tidak menunjukkan prestasi yang meningkat sejak tahun 2006 selain aspek pembangunan tidak diberi tumpuan. Malah, kedudukan ranking dunia sepak takraw negara turut digugat oleh negara-negara baharu.

“Bagi taekwondo, pencapaian kita sangat tidak memuaskan. Sukan ini tidak menunjukkan pencapaian yang positif di samping kemelut sukan taekwondo masih gagal menyatukan penggiat-penggiat sukan berkenaan,” ujar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur semalam.

Ekoran tindakan itu, penglibatan mereka dalam program-program yang berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan akan dikurangkan selain peruntukan yang akan diberikan turut terhad.

“MSN bagaimanapun akan terus bekerjasama dengan persatuan untuk kita bangunkan semula sukan ini. Kita akan buat penilaian semula setiap dua tahun dan ada peluang untuk sukan ini dimasukkan semula sebagai sukan teras,” ujar Khairy.

Sumber :-Kosmo

Agak pelik bila sukan takraw pun terpalit sama sedangkan nampak beberapa usaha seperti memajukan STL bagi memberikan ruang kepada pemain menunjukkan professionalisme. Tapi mungkin pihak KBS lebih arif tentang penilaian bagi sukan teras ini. Apapun diharap PSM tidak berputus asa dan cuba untuk membangkitkan kembali prestasi pasukan sepak takraw negara di mata dunia.

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

One thought on “3 sukan digugurkan daripada sukan teras

Leave a Reply