12 atlet pecut bertanding di Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: Seramai 12 atlet pecut negara berlepas ke Afrika Selatan hari ini untuk menjalani latihan dan menyertai pertandingan di sana sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada Ogos ini. Antara yang disenaraikan ialah pemegang rekod pecut 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan serta atlet lain – Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Azam Masri, Jonanthan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi, G Aravinn Thevarr dan Rayzam Shah Wan Sofian. Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) turut menghantar atlet wanita – Shereen Samson Vallabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faezah Asma Mazlan, S Komalam dan Siti Fatimah Mohamad.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim percaya semua atlet kebangsaan itu sudah bersedia untuk berkampung di Afrika Selatan serta menimba secukupnya pengalaman beraksi di sana. Katanya, sebelum bertolak ke benua Afrika, pengurusan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, sudah menyediakan segala keperluan dan persiapan untuk atlet termasuklah kaedah terbaik untuk menyesuaikan diri dengan cepat di negara berkenaan. “Saya percaya mereka sudah bersedia daripada sudut fizikal dan mental memandangkan SSTMI sudah memberikan latihan mengenai keadaan di sana (Afrika Selatan) serta apa yang perlu dilakukan ketika ada pertandingan,” kata Mohd Poad. Johannesburg, sebuah bandaraya di Afrika Selatan mempunyai perbezaan masa selama enam jam dengan Malaysia, suhunya lebih rendah iaitu dengan purata 17 darjah Celsius serta memiliki tiupan angin lebih kuat dianggarkan kira-kira 27 kilometer sejam (kmj) berbanding Malaysia (5kmj). Mengulas lanjut, Mohd Poad berkata sejurus tiba di sana, dia dan jurulatih olahraga wanita, M Balamurugan akan berbincang bersama jurulatih yang sudah dilantik mengenai latihan serta pertandingan yang akan berlangsung selepas ini.

Sumber :- BHarian

zool
Kaki Bangku yang meminati sukan tempatan. Semua yang ditahu akan dikongsi bersama.
http://ligakampung.com/blog

Leave a Reply